Dah empat orang boleh keluar

SATU ‘keluarga’ dah boleh keluar. Bukan seorang, atau dua tetapi empat. Itu keputusan kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah. 

“Kerajaan memutuskan membenarkan untuk kenderaan persendirian maksimum empat orang tetapi mesti daripada keluarga yang sama dan rumah yang sama.

“Namun saya percaya ada yang cuba membawa kawan dan jika didapati ingkar, prosedur operasi standard  mesti dipatuhi, sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang akan kembali beroperasi  pada 4 Mei, Ismail Sabri berkata semua pengguna dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan .

Tegasnya,  ini penting bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja sewaktu PKPB dilaksanakan.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai kebimbangan orang ramai terhadap pembukaan semula sektor perniagaan dan industri apabila berlakunya pergerakan secara besar-besaran.

“Malah, ramai turut melahirkan kerisauan kemungkinan PKPB ini boleh menyebabkan penularan semula jangkitan Covid-19,” katanya.

Justeru, katanya rakyat disaran terus mengamalkan kawalan kendiri  untuk memastikan dapat menghindarkan diri daripada wabak itu dan memutus rantaian jangkitan

Ismail Sabri berkata rakyat juga diseru supaya memainkan peranan dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti, serta mengelakkan berada di tempat awam jika tiada keperluan.

Related posts

Leave a Comment