PKP masih berfungsi

KELONGGARAN yang diberi mulai 4 Mei bukan tindakan tergesa-gesa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

Dalam tempoh itu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa dan rakyat perlu patuh setiap arahan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberi mengikut peringkat tertentu dan mereka yang melanggar arahan akan tetap diambil tindakan.

Kerajaan telah menyediakan syarat penyediaan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat walaupun kepentingan kesihatan dan ekonomi diperlukan, namun, tetap tertakluk kepada SOP yang ketat.

“Perlu saya ingatkan bahawa PKP masih terus dilaksanakan. Bukan bermakna PKP ini tidak ada, Akta 342 masih lagi mengikat rakyat kita patuh kepada setiap arahan,” katanya dalam sidang media.

Malah katanya, ia selari dengan pengumuman awal iaitu mengadakan kelonggaran demi kelonggaran dalam PKP.

Justeru, beliau berkata, operasi sektor ekonomi yang diumumkan dilakukan secara berperingkat, contohnya,  operasi perniagaan dihadkan hingga pukul 8 malam dan ia akan dilonggar sedikit demi sedikit, jadi ia dibenarkan hingga 10 malam.

“Peringkat awal, kilang yang dibenar operasi ialah melibatkan makanan dan perubatan dan jumlah pekerja hanya 50 peratus, selepas itu dilonggarkan sedikit kepada 100 peratus,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menafikan, kerajaan bertindak tergesa-gesa membuka sektor ekonomi terlibat pada PKPB.

“Walaupun kita membuka operasi, namun bukan tergesa-gesa sebab kita melalui peringkat-peringkat tertentu. Sekarang kita buka di kawasan hijau. Sebab itu kita beri kelonggaran kepada peniaga di warung, penjual goreng pisang misalnya sebab kehidupan rakyat di akar umbi agak sukar dan memberi peluang pendapatan kepada mereka,” ujar beliau.

Related posts

Leave a Comment