BERTENANG! Itu permintaan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. berikutan sentimen negatif masyarakat terhadap etnik Rohingya sejak kebelakangan ini, yang menghairankan pihak berkuasa kerana tidak pernah timbul sebelum ini.
Katanya, pihak berkuasa akan menyiasat semua isu berkaitan pelarian Rohingya berikutan akhir-akhir ini banyak berita di media sosial yang dikeluarkan yang menimbulkan kemarahan terhadap mereka.
“Pihak polis sedang menyiasat sebab ada juga yang menganggap sesetengah video dan rakaman audio itu (mengenai dakwaan dan tuntutan dibuat oleh etnik itu di negara ini) adalah palsu atau tidak benar. Tiada sesiapa yang boleh menentukan kesahihan video ini kecuali polis,” katanya.
Sebelum ini, tular beberapa klip rakaman video, audio dan berita di media sosial membabitkan pelarian Rohingya termasuk dakwaan mereka membuat tuntutan tertentu, sekali gus mencetuskan kemarahan segelintir rakyat negara ini.
“Jadi pihak polis sekarang menyiasat video, audio dan segala berita yang berkaitan dengan pelarian Rohingya ini,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kedatangan pelarian Rohingya ke negara ini bukan perkara yang baharu tetapi sebelum ini tidak timbul sebarang isu mengenai mereka.
“Tetapi akhir-akhir ini, sewaktu Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), isu ini menjadi besar. Sebelum ini tidak timbul isu ini kerana kedatangan pelarian Rohingya mendapat simpati daripada kita kerana kita mendengar mereka dibunuh dengan kejam, dibakar hidup-hidup dan sebagainya.
“Semua rakyat tolong bertenang dan jangan timbulkan isu yang membangkitkan kemarahan dan mencetuskan sesuatu yang tidak diingini.
“Malaysia negara yang aman dan terkenal sebagai negara yang amat bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja yang berada di bumi Malaysia ini,” katanya.