Lupakan bola sepak di padang

LUPAKAN seketika saingan bola sepak di padang. Mana mungkin 22 pemain akan beraksi di padang sekiranya prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan ‘perhimpunan ramai’ walaupun di padang sukan.

Jika 22 pemain berada di atas padang akan menyebabkan berlaku kontak secara fizikal, bersentuhan antara satu sama lain.

Justeru, bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 tidak boleh dianjurkan buat sementara walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kejohanan bola sepak tempatan perlu ditangguh sehingga ke satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata selepas tempoh PKP berakhir kelak, rakyat masih tidak boleh bergerak bebas seperti sebelum ini dan akan terikat dengan beberapa SOP tertentu untuk mengelak berlaku penularan semula wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang merangka satu SOP yang perlu dipatuhi oleh rakyat selepas tempoh PKP ditamatkan, kelak.

“Walaupun PKP ditamatkan, perhimpunan seperti program melibatkan kehadiran secara berkumpulan masih tidak dibenarkan, cuma tempoh sehingga bila SOP itu dikuatkuasakan kita akan umumkan kemudian kerana MKN sedang merangka SOP selepas PKP tamat,” katanya dalam sidang akhbar harian.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilaporkan menghantar permohonan rasmi kepada MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan SOP yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan.

Kedua-dua entiti bola sepak tanah air itu difahamkan turut merangka beberapa SOP untuk setiap pasukan bertanding, dengan semua pemain serta pegawai pasukan diwajibkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan semua individu yang terlibat bebas daripada wabak berkenaan.

Related posts

Leave a Comment