Indonesia catat 396 kes baharu

THAILAND mengesahkan 53 kes baharu Covid-19 termasuk 42 di Pusat Tahanan Imigresen Sadao di wilayah selatan Songkhla dan satu lagi kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,907 dan 51 kematian.

Daripada 42 kes itu, dua adalah rakyat Malaysia, 34 dari Myanmar, Vietnam (tiga) serta masing-masing satu dari Yemen, Kemboja dan India, kesemuanya ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasukan perubatan telah memberikan rawatan kepada kesemua 42 pesakit di Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki warga Thai berusia 48 tahun yang dijangkiti virus itu bersama empat lagi ahli keluarganya adalah kematian terbaharu yang dilaporkan.

Sehingga kini, 2,547 kes telah pulih dan discaj dari hospital manakala 309 lagi masih berada di hospital.

Thaweesilp berkata Thailand menambah lima negara jiran – Singapura, Malaysia, Laos, Kemboja, Myanmar – dalam senarai Zon Jangkitan Penyakit pada 23 April untuk menguruskan secara berkesan pergerakan orang ramai dan membawa mereka ke kemudahan kuarantin ketika wabak Covid-19 ini.

Enam lagi negara dan wilayah dalam senarai itu ialah Korea Selatan, China, Macau, Hong Kong, Itali dan Iran.

Di INDONESIA, sebanyak 396 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 8,607 kes manakala kematian meningkat kepada 720 kes selepas 31 lagi kes dilaporkan.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, sebanyak 19,084 pesakit masih berada dalam pengawasan.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 346 kes, diikuti Jawa Barat (77 kes), Jawa Timur (75), Jawa Tengah (54) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu di FILIPINA, Jabatan Kesihatan mengesahkan 102 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes 7,294.

Sebanyak 17 kematian dilaporkan menjadikan 494 kes. Di samping itu, sebanyak

30 kes pulih menjadikan jumlah pesakit yang sembuh adalah  792..

BRUNEI Darussalam pula kekal dengan 138 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan hari ini sementara seorang lagi sembuh menjadikan 121 kes pulih.

Related posts

Leave a Comment