Dapur bubur tidak berasap

“DAPUR tak berasap tahun ini,” kata warga emas Zainal Abidin Hamid, 65 dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Bukan kerana beliau tidak mendapat bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bukan juga tidak cukup wang untuk memasak tetapi disebabkan Covid-19.

Bagi Zainal, yang juga ketua tukang masak Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), ini adalah kali pertama bubur lambuk tidak dapat diedarkan kepada masyarakat khususnya di sekitar Kuala Lumpur.

“Ini kira sejarah, bubur lambuk Kampung Baru ini sudah 100 tahun dibuat dan diedarkan kepada masyarakat namun tahun ini kami tidak dapat berbuat demikian.

Walaupun sedih, saya tetap reda dengan apa yang berlaku dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa,” katanya kepada Harian Metro baru-baru ini.

Kampung Baru menang terkenal dengan bubur lambuk. Walaupun masjid  menyediakannya secara percuma tetapi ramai peniaga sekitarnya mengambil peluang menjual bubur lambuk. Populariti bubur lambuk Kampung Baru tidak pernah mengcewakan. Lihat sahaja jumlah peniaga yang menjual, bukan seorang dua.

Menurut Pengerusi MJKB, Idris Shaari Mat Aris, keputusan membatalkan program edaran bubur lambuk tahun ini dibuat selepas mengambil kira penularan Covid-19.

Bukan mudah untuk menyediakan bubur lambuk itu kerana biasanya melibatkan 30 hingga 40 orang petugas bagi menyediakan 20 periuk.

Biasanya sejak awal pagi lagi para petugas sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak tetapi tahun ini hanya deretan periuk kosong yang ada di dapur khas yang disediakan di Masjid Kampung Baru itu. Malahan masjid pun terpaksa ditutup atau dikosongkan, tiada solat berjemaah.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad semasa hayatnya pernah terlibat untuk bersama-sama pelbagai pihak menaja bubur lambuk itu. Kakitangan Utusan terutama dari Jabatan Pemasaran menyumbang tenaga menyediakan bahan dan membungkus. Setiap hari, dianggarkan 4,000 bungkus bubur lambuk disediakan.

Lebih RM100,000 dibelanjakan setiap tahun bagi memasak bubur lambuk itu.

Pastinya sesudah Asar hari pertama Ramadan ini dan hari-hari seterusnya tidak ada lagi suasana meriah di kawasan masjid menyaksikan pelbagai peringkat masyarakat beratur menunggu bubur lambuk.

Mustahil untuk program itu diteruskan kerana ia turut melibatkan penyertaan ramai yang boleh mencetuskan rantaian wabak. Apatah lagi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkannya, sukar untuk mengawal penjarakan selamat.

Justeru, untuk keselamatan semua, lupakan saja bubur lambuk Masjid Kampung Baru tahun ini. Buat sendiri di rumah. Masa untuk mencuba.

Related posts

Leave a Comment