SEPERTI dijangka, kerajaan melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu yang akan berakhir pada 12 Mei ini. PKP fasa ketiga yang bermula 15 April sepatutnya berakhir pada 28 April.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjelaskan, dengan tempoh yang dilanjutkan tersebut, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.
“Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya kes-kes Covid- 19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.
“Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini.
“Dengan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP, kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi, atau ‘revive the economy’, secara bertahap.
Jelas Muhyiddin, keputusan itu termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.
“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara,” katanya.