MULAI pukul 11 pagi ini 19 April 2020, semua restoran makanan segera McDonald’s di Singapura akan menggantung semua operasi, termasuk khidmat penghantaran McDelivery dan khidmat Drive-Thru atau pandu lalu.
Pesanan McDelivery sehingga 10.30 pagi manakala khidmat Drive-Thru dihentikan pada pukul 8 pagi.
Tempoh penggantungan ini adalah sehingga hari terakhir tempoh pemutus litar di Singapura, iaitu 4 Mei 2020.
McDonald’s dalam kenyataannya berkata, operasi itu digantung setelah dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mengambil langkah pencegahan itu dalam usaha membendung Covid-19 di Singapura.
Pengarah urusan McDonald’s Singapura Kenneth Chan berkata syarikat itu telah melakukan apa yang termampu untuk melindungi kakitangan dan pelanggan dan akan terus berbuat demikian untuk mengurangkan penularan Covid-19 di sini.
Untuk rekod, tujuh kakitangan McDonald’s telah dijangkiti Covid-19.
Pada 18 April, McDonald’s menutup dua cawangan di Terminal 3 Changi Airport dan store Drive-Thru di stesen minyak Shell di Tampines Ave 2 selepas dua lagi kakitangannya diuji positif bagi Covid-19.