SUATU masa dulu, ketika di sekolah, salah satu denda yang akan dikenakan jika melakukan kesilapan adalah menukis berulang kali ayat atau perkataan. Ada yang ikut bilangan dan ada ikut muka surat buku tulis.
Kalau nasib baik boleh diselesaikan di rumah dan esoknya tunjuk kepada cikgu. Itu lebih baik daripada dirotan.
Rupa-rupanya kaedah itu juga digunakan untuk mereka yang melanggar perintah berkurung semasa penularan wabak Covid-19.
Semalam, satu laporan dari New Delhi menyebut 10 orang pelancong yang melanggar larangan pergerakan koronavirus di sebuah bandar India didenda menulis saya mohon maaf sebanyak 500 kali.
Pelancong tersebut – dari Israel, Mexico, Australia dan Austria – ditangkap berjalan-jalan di Rishikesh, lokasi yang pernah dipopularkan kugiran Beatles pada 1968.
Pegawai polis tempatan, Vinod Sharma berkata, setelah ditahan, setiap seorang daripada mereka didenda menulis sebanyak 500 kali “I did not follow the rules of lockdown so I am so sorry,” .
Sharma berkata lebih 700 pelancong asing dari Amerika Syarikat, Australia, Mexico dan Israel yang tinggal di kawasan itu telah melanggar larangan, sambil menambah hukuman luar biasa itu dikenakan sebagai satu pengajaran.
Perintah sekatan pergerakan di seluruh negara dikenakan pada akhir Mac, dengan penduduk hanya dibenarkan meninggalkan kediaman mereka untuk perkhidmatan penting seperti membeli barangan keperluan dan ubatan.