SINGAPURA mencatatkan 233 kes baharu Covid-19 semalam (Ahad 12 April) menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 2,532.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan hariannya juga memberitahu tujuh kelompok baharu juga ditemui.
Jumlah kes dalam masyarakat juga meningkat berikutan satu gelombang kes import, bagaimanapun peningkatannya lebih sederhana sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana pelaksanaan langkah penjarakan.
Dalam kalangan kes baharu, 51 kes dikaitkan dengan kelompok sedia ada, 15 berkait kes lain dan 167 kes masih lagi dijalankan penjejakan kontak. Tiada kes import baru.
Menurut MOH, daripada 167 yang sedang dilakukan penjejakan kontak, 141 adalah pemegang permit kerja yang majoritinya tinggal di asrama, tapak kerja dan tempat tinggal lain.
Kelompok baharu adalah Acacia Lodge, Tuas View Dormitory, 36 Woodlands Industrial Park E1, Kallang Dormitory, restoran burger Black Tap di Marina Bay Sands, tapak binaan di 9 Penang Road serta cawangan makanan segera McDonald di Forum Galleria, Lido dan Parklane.