BANGKOK: Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju mewujudkan Tabung Khas ASEAN Covid-19 bagi memerangi pandemik Covid-19 di rantau itu.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan menyatakan penubuhan tabung berkenaan merupakan salah satu daripada hasil yang dicapai semasa Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-25 melalui sidang televideo pada Khamis.
Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai dan rakan sejawatannya menyertai mesyuarat sidang televideo itu termasuk Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein.
Kementerian Luar memaklumkan tabung itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan perubatan dan menyokong penyelidikan dalam rawatan dan vaksin.
Semua Menteri Luar ASEAN bersetuju untuk bergabung dalam usaha mengukuhkan kerjasama untuk memerangi wabak itu di rantau ini.
“Mereka turut membincangkan langkah-langkah dan garis panduan untuk mengekang virus yang membawa maut itu,” katanya semalam.
Dalam mesyuarat itu, Menteri Luar ASEAN juga bersetuju untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada warga ASEAN yang tinggal di rantau itu dan di lain-lain negara.
“Selain itu, para menteri juga bersetuju untuk mengurangkan impak sosioekonomi termasuk pelan pemulihan ekonomi untuk membuka jalan kembali kepada keadaan normal,” menurut kenyataan itu.
Pada mesyuarat itu, para menteri juga membincangkan persiapan untuk Persidangan Khas ASEAN+3 berhubung pandemik Covid-19, Selasa ini.