Larangan jual arak 10 hari

BANGKOK – Bagi mengelak sebarang perhimpunan semasa sambutan tahun baharu tradisional Thailand, Songkran, Bangkok melarang penjualan alkohol selama 10 hari mulai 10 April ini.

Jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Pongsakorn Kwanmuang berkata walaupun kerajaan menangguhkan sambutan itu, larangan penjualan itu diharap dapat menghalang orang ramai berkumpul dan minum minuman keras.

“Kami minta kerjasama untuk membendung penularan wabak Covid-19. Kami tidak mahu lagi penyebar semasa Songkran,” katanya.

Songkran sepatutnya disambut minggu depan iaitu pada 13 hingga 15 April tetapi ditangguhkan akibat wabak Covid-19.

Selain Bangkok, wilayah lain seperti Chiang Mai, Rayong, Buriram dan Nakhon Pathom sudah melarang penjualan alkohol sebagai langkah untuk mengurangkan penularan virus Covid-19.

Thailand mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April. Negara itu juga mengenakan perintah berkurung pada waktu malam selama enam jam bermula 10 malam hingga 4 pagi.

Related posts

Leave a Comment