287 kes baharu di Singapura

SINGAPURA mencatat 287 kes baharu positif Covid-19, dua kali ganda berbanding semalam (8 April). Daripada jumlah itu, lebih 200 kes melibatkan pekerja asing di asrama.

Justeru, kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesesakan dalam asrama, dengan memindahkan pekerja asing ke kemudahan lain, termasuk kem ketenteraan, pusat pameran Changi, serta ‘hotel terapung’.

Selain itu, 43 pasukan khas yang terdiri daripada pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) atau Pasukan Polis Singapura (SPF) ditubuhkan untuk memastikan keselamatan dan menjaga kebajikan pekerja di asrama seluruh Singapura.

Sementara itu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berharap, penduduk Singapura mematuhi langkah jarak selamat semasa tempoh ‘pemutus litar’, dengan harapan bilangan jangkitan boleh turun menjelang hari ke-11, seperti yang dialami New Zealand.

Beliau berkata demikian dalam satu catatan di Facebook hari ini selepas bercakap dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, melalui telefon.

“PM Ardern berkongsi bahawa selepas New Zealand melaksanakan langkah-langkah mereka, bilangan hanya mula turun pada Hari 11. Kita (Singapura) cuma berada di Hari ketiga dan masih mempunyai perjalanan yang panjang.

“Jika kita semua mematuhi dengan ketat, seperti yang dilakukan penduduk New Zealand, mudah-mudahan menjelang Hari 11 kita juga akan melihat hasil positif,” tulisnya.

Lee menambah, beliau dan Cik Ardern turut membincangkan tentang bagaimana mereka dapat menyokong satu sama lain dalam tempoh ini, termasuk memastikan rangkaian bekalan antara kedua-dua negara tidak terputus.

Related posts

Leave a Comment