PKP dilanjutkan lagi?

MINGGU ini, mungkin esok, kita akan tahu sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan perlu dilanjutkan ataupun tidak. Setelah mengharungi fasa pertama mulai 18 hingga 31 Mac, tempoh itu dilanjutkan lagi untuk fasa kedua sehingga 14 Mac.

Melihat situasi sekarang, kes positif bertambah, ada pula subkluster baharu dan juga merekodkan 69 kes sporadik Covid-19, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya.

Berdasarkan perkembangan semasa, masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memerangi wabak ini. Kerajaan juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi kes yang meningkat termasuk menyediakan katil-katil tambahan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Kita tidak mahu usaha memerangi wabak ini kendur separuh jalan. Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Dalam hal ini kita perlu meningkatkan kesedaran rakyat untuk membendung wabak ini daripada terus merebak. Ramai pakar kesihatan awam berpendirian PKP perlu dilanjutkan bagi memutuskan rantaian jangkitan seterusnya mengekang penularan wabak ini

Selepas terkurung lebih 20 hari, kita tidak mahu melihat gelombang seterusnya apabila berlaku aktiviti perhimpunan ramai semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ketika ini banyak negara sudah bersedia untuk mengelakkan berlakunya aktiviti rutin semasa bulan Ramadan  seperti majlis berbuka puasa beramai-ramai, solat tarawih dan Aidilfitri.

Kita tunggu dan lihat apa keputusan kerajaan setelah mengambil kira situasi semasa dan syor yang akan dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan. Kita mengharapkan keputusan yang terbaik untuk rakyat. Untuk rekod, masih banyak negara yang mengenakan ‘perintah berkurung’ ini.

Bagi menyokong lanjutan PKP sehingga selepas Aidilfitri, Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dalam kenyataannya berkata pandemik Covid-19 telah menjadikan jarak sosial satu kemestian baharu yang perlu dipatuhi sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu sehingga keadaan terkawal sepenuhnya.

“Risiko penyebaran virus itu terutamanya kepada golongan warga tua, dalam kes ‘balik kampung’ beramai-ramai adalah sesuatu yang nyata. Risiko dikaitkan dengan keadaan sesak di stesen R & R dan juga kegagalan melaksanakan jarak sosial oleh kalangan orang ramai semasa balik kampung dan kemudian pulang semula ke kawasan bandar juga perlu diambil kira,” kata kenyataan itu.

AMM berkata sikap bertanggungjawab dalam mematuhi langkah jarak sosial perlu ada pada setiap orang sehingga adanya vaksin.

“Bagi tahun ini sekurang-kurangnya, sama ada perhimpunan pada Ramadan, Aidilfitri atau malah Haji — perlu dikawal, dipantau dan jika boleh haramkan perhimpunan ini,” kata kenyataan itu.

AMM juga menggesa kerajaan untuk memantapkan perancangan bagi mengurangkan masalah yang timbul oleh pandemik itu terhadap sosi-ekonomi kerana ia terus memberikan kesan negatif terhadap semua aspek ekonomi Malaysia dan sebab itu kenapa ia memerlukan pendekatan jitu oleh kerajaan dan semua masyarakat.

“Perang terhadap COVID-19 masih jauh lagi untuk berakhir, banyak pengorbanan telah dibuat dan akan perlu diteruskan pada tahun ini. Mari kita tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia boleh melaksanakan kekangan dan memastikan perang ini berakhir,” katanya dalam kenyataan.

(Kartun hiasan kartunis)

Related posts

Leave a Comment