Jangan politikkan Covid-19

GENEVA: Tolong jangan mempolitikkan Covid-19. Bersatu dan tingkat perpaduan. Itu mesej jelas dan tegas Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang akhbar mengenai Covid-19 di Geneva pada 8 April.

Ketika menjawab soalan Wartawan, beliau memberi amaran jika dunia tidak bersatu dalam menentang penularan Covid-19, maka lebih banyak kematian akan disaksikan.

Beliau berkata, ini bukan masanya untuk berpolitik menggunakan Covid, banyak lagi cara lain untuk berbuat demikian. Parti politik perlu melindungi rakyat daripada wabak ini.

“Nasihat saya, tiga perkara, perpaduan pada tahap kebangsaan, jangan gunakan Covid-19 untuk tujuan politik.

“Kedua, solidariti yang jujur pada tahap global dan kepimpinan yang jujur daripada AS dan China.

“Seperti perang dingin dan kini masalah kita kurang berbanding perang dingin, sesiapa yang mempunyai pendapat yang berbeza, perlu bersatu untuk melawan perkara itu,” katanya.

Dr Tedros turut meminta semua untuk bersatu kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menewaskan virus ini.

“Kurang perpaduan? Tolong bersedia. Sekiranya anda tidak percaya dalam perpaduan atau tidak mengamalkannya, bersedia untuk senario yang paling teruk.

“Situasi akan menjadi paling buruk apabila kita tidak bersatu,” tegasnya.

Beliau memberi jawapan itu ketika menjawab soalan berkaitan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengkritik pendirian WHO yang didakwa sebagai terlalu berpihak kepada China dan mengkritik nasihat perjalanan yang dikeluarkan WHO ketika awal penularan Covid-19.

Trump turut mengancam untuk mengurangkan dana daripada AS kepada WHO.

Dr Tedros berkata, kita akan lihat lebih banyak beg mayat sekiranya kita tidak berjaga-jaga.

“Apabila keretakan timbul di tahap kebangsaan dan tahap global, itu tandanya virus tersebut telah menang. Kita telah pun tewas, kita sudah hilang lebih 60,000 nyawa. Satu nyawa pun cukup penting, tidak kira muda atau tua.

“Lebih satu juta kes. Apa yang kita sedang lakukan? Adakah ini tidak mencukupi. Ia lebih dari mencukupi. Hanya satu nyawa yang terkorban sudah menjadi bencana sekiranya kita boleh mengelakkannya,” katanya.

Beliau sebelum itu juga menghuraikan pelbagai langkah yang diambil oleh WHO dalam tempoh 100 hari wabak itu dikesan.

Related posts

Leave a Comment