Bersedia tiada solat Tarawih, Idulfitri di masjid

JAKARTA – Indonesia bersedia untuk menetapkan solat Tarawih pada tahun ini dilakukan bersama keluarga di rumah masing-masing manakala solat Aidilfitri ditiadakan berikutan penularan wabak Covid-19

Menteri Agama Fachrul Razi telah mengeluarkan arahan berkaitan penetapan itu melalui Surat Edaran berkaitan Panduan Ibadah Ramadan dan Idulfitri 1 Syawal 1441H.

Bagaimanapun penetapan itu bergantung kepada pengumuman pihak pemerintah mengenai situasi wabak itu menjelang Ramadan .

Panduan ibadah itu seiring syariat Islam sekaligus mencegah, mengurangi penyebaran, dan melindungi masyarakat Muslim di Indonesia dari risiko Covid-19.

“Solat Tarawih dilakukan secara individu atau berjamaah bersama keluarga  di rumah,” kata Razi dalam surat tersebut.

Razi turut menjelaskan agar sahur dan  berbuka puasa juga dilakukan secara  individu atau keluarga  di rumah masing-masing. Ia melarang adanya sahur ‘on the road’ atau buka puasa bersama.

“Buka puasa bersama sama ada  dilaksanakan di lembaga pemerintahan, lembaga swasta, masjid maupun musala ditiadakan,” katanya.

Selain itu, Razi turut mengingatkan tanggungjawab umat Islam untuk menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan baik berdasarkan ketentuan fikih ibadah.

Begitu juga dengan tadarus al-Quran hendaklah dilakukan di rumah masing-masing berdasarkan perintah Rasulullah SAW untuk menyinari rumah dengan bacaan al-Quran.

“Peringatan Nuzulul Quran dengan menghadirkan penceramah dan massa dalam jumlah besar, sama ada di lembaga pemerintahan, lembaga swasta, masjid maupun musala ditiadakan,” kata Razi

Selain itu, Razi juga menjelaskan supaya tidak ada iktikaf termasuk pada 10 malam terakhir di masjid atau musala.

Aktibiti takbir hari raya di kawasan sekitar penduduk juga ditiadakan tetapi cukup melalui pembesar suara masjid atau musala.

Begitu juga aktiviti berhari raya yang bertujuan mengukuhkan silaturrahim  dan bermaafan  boleh digantikan melalui media sosial dan televideo.

Sementara itu, Pertubuhan Muslim kedua terbesar Indonesia, Muhammadiyah, telah mengeluarkan surat pekeliling menasihati masyarakat Islam setempat agar mendirikan solat Tarawih di rumah sekiranya keadaan wabak Covid-19 tidak menunjukkan tanda pulih pada bulan yang akan datang.

Pertubuhan itu juga menyarankan agar solat Aidilfitri, yang selalunya didirikan  secara berjemaah di masjid atau di padang pada pagi Hari Raya, turut ditiadakan ekoran krisis kesihatan ini, lapor The Jakarta Post.

Related posts

Leave a Comment