PM Britain masuk ICU

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas simptom jangkitan koronavirus “semakin teruk”.

BBC melaporkan, jurucakap Downing Street dalam satu kenyataan berkata beliau dipindahkan atas nasihat pasukan perubatannya.

Perdana Menteri kini di bawah jagaan para doktor di Hospital St Thomas di London selepas dimasukkan ke wad dengan simptom koronavirus yang berterusan.

“Perdana Menteri sedang menerima jagaan terbaik, dan terima kasih diucapkan kepada semua staf NHS atas kerja keras dan dedikasi mereka,” tulis kenyataan itu.

Johnson pada mulanya dibawa ke hospital untuk ujian rutin selepas disahkan positif koronavirus 10 hari lalu. Beliau dimasukkan ke hospital di London apabila menunjukkan “simptom berterusan” termasuk demam dan batuk pada Ahad malam.

Johnson dalam pada itu telah mengarahkan Setiausaha Luar Dominic Raab untuk membantu di mana perlu, kata jurucakap itu lagi.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan kesedihannya susulan perkembangan terbaharu kesihatan Boris Johnson.

“Seluruh rakyat Amerika mendoakan beliau (Johnson) sembuh.Beliau seorang rakan baik, seorang yang sangat istimewa, kuat, tegas dan tidak pernah mengalah,” kata Trump dalam taklimat media di White House.

Katanya lagi, pihaknya telah menghubungi kesemua doktor yang merawat Johnson bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesihatan Johnson.

“Apabila anda dibawa ke unit rawatan rapi, ia bermakna wabak ini amat serius,” tambah Trump.

Trump turut memaklumkan telah mengarahkan dua ‘syarikat peneraju’ untuk menghubungi pegawai di London mengenai rawatan terapi yang mungkin boleh membantu merawat Johnson.

Related posts

Leave a Comment