Waran tangkap terhadap Putin

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin atas tuduhan jenayah perang kerana mengusir kanak-kanak Ukraine secara haram. 

Difahamkan ini kali pertama mahkamah antarabangsa yang berpangkalan di The Hague mengenakan waran berkenaan ke atas salah seorang daripada lima pemimpin anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Turut dikenakan tindakan yang sama adalah Maria Lvova-Belova, pesuruhjaya presiden Rusia bagi hak asasi kanak-kanak.

Bagaimanapun Kremlin menolak arahan tersebut sebagai “tidak sah” dan tidak jelas bagaimana atau sama ada Putin boleh diserah memandangkan Rusia bukan anggota ICC.

Sementara Ukraine pula mengalu-alukan pengumuman ICC itu, dengan ketua pendakwa negara berkata waran tangkap “bersejarah” terhadap Putin “hanya satu permulaan”. 

Notis mahkamah yang mengejutkan itu dikeluarkan beberapa jam menyusuli berita-berita lain yang berpotensi menjejas dengan ketara perang Rusia di Ukraine termasuk lawatan Presiden China Xi Jinping ke Moscow.

Lebih 16,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan secara paksa ke Rusia sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari 2022, menurut Kyiv, dengan ramai daripada mereka dipercayai diletakkan di institusi-institusi serta rumah anak angkat. 

Waran itu, yang dikeluarkan selepas satu permohonan oleh pendakwa ICC Karim Khan, adalah bagi “apa yang dipercayai sebagai jenayah perang mengusir kanak-kanak dari wilayah Ukraine ke Persekutuan Rusia” sejak pencerobohan, katanya. 

Presiden ICC Piotr Hofmanski bagaimanapun berkata, pelaksanaan waran itu bergantung kepada kerjasama masyarakat antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment