SEPANYOL pula mengatasi Itali berhubung jangkitan Covid-19 apabila jumlah kes mencecah 124,736 pada Sabtu berbanding Itali sebanyak 124,632, lapor agensi berita Xinhua.
Menduduki tangga kedua, Sepanyol melaporkan 809 kematian baharu antara Jumaat dan Sabtu, menjadikan keseluruhan 11,744 kes.
Manakala kes baharu dicatatkan pada Sabtu sebanyak 7,026 sedikit menurun berbanding Jumaat berjumlah 7,472.
Berikutan perkembangan itu, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengumumkan negara itu akan meneruskan lockdown yang lebih ketat sehingga sekurang-kurangnya 25 April.
“Objektif utama adalah meratakan lengkung penularan. Kita semakin hampir. Bagaimanapun saya merayu semua pihak sedia berkorban dan bersemangat kental.
“Sasaran seterusnya mengurangkan jangkitan sehingga setiap hari kita mempero mereka yang dijangkiti lebih rendah daripada jumlah yang sembuh,” kata Sanchez dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen lapor agensi berita Anadol.
Sepanyol mencatat kadar kematian dan jangkitan COVID-19 kedua tertinggi dunia.
Data kerajaan pada Sabtu menunjukkan 11,744 orang maut, 57,612 dimasukkan ke hospital dan lebih 124,700 penduduk Sepanyol disahkan positif COVID-19.
Perintah kuarantin di Sepanyol mula dikuatkuasakan pada 14 Mac lalu dan dengan pengumuman itu, ia kini dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya 45 hari.
Sepanyol menguatkuasakan larangan pergerakan yang dianggap paling ketat di dunia.
Sejak awal tiada seorang pun dibenar keluar rumah untuk mendapatkan apa saja barang tidak dianggap sebagai keperluan.
Tidak seperti banyak negara lain, sebarang aktiviti senaman di luar rumah, tidak dibenarkan.
“Saya faham betapa sukarnya untuk terus duduk di rumah, mengasingkan diri sejak dua minggu,” kata Sanchez.
Kerajaan hanya boleh mengisytiharkan darurat kesihatan selama 15 hari pada sesuatu masa, dan sebelum ini, perintah berkurung berakhir pada 12 April.