19,800 dikuarantin di dua asrama pekerja di Singapura

SINGAPURA: Sebanyak 120 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Singapura pada Ahad, sekali gus merekodkan peningkatan kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan di republik itu pada Januari lalu.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara itu mencecah 1,309.

Daripada jumlah tersebut, empat kes baharu dikesan membabitkan kes import, sementara selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.

Pasukan petugas Covid-19 yang terdiri daripada pelbagai kementerian dalam sidang media memaklumkan sejumlah besar kes baharu adalah daripada dua kluster sedia ada iaitu pekerja asrama di Punggol dan Westlite Toh Guan.

Setakat ini, Punggol dan Westlite Toh Guan masing-masing mencatatkan 22 dan 10 kes baharu.

Susulan kes tersebut, Kementerian Kesihatan Singapura telah mewartakan dua asrama tersebut untuk dikuarantin.

Seramai 19,800 pekerja di dua buah asrama berkenaan  akan dikuarantin di bilik masing-masing selama 14 hari.

Di samping itu, langkah akan diambil untuk mengurangkan interaksi pekerja di asrama lain. Ini termasuk menghalang pergaulan pekerja antara blok dan lantai berbeza, serta waktu makan dan riadah yang berlainan.

Pemerintah juga akan menempatkan pekerja asing yang bekerja dalam perkhidmatan penting di tempat berasingan.

Langkah-langkah itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan rekod 120 kes Covid-19 pada Ahad (5 April), yang daripadanya empat diimport dan 116 kes tempatan.

Daripada kes tempatan itu, seramai 39 ialah warga Singapura atau penduduk tetap, dan 76 merupakan pemegang pas kerja jangka panjang.

Related posts

Leave a Comment