Lantikan Hadi bukan pujuk ahli

KUALA LUMPUR 4 April  – Pelantikan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bukan bertujuan memujuk dan memenangi hati anggota parti itu, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Katanya, Pas khususnya Abdul Hadi tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam Kerajaan.

“Sebaliknya kami bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Ahli Parlimen Marang itu sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dengan bertaraf menteri.

Takiyuddin, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyifatkan pelantikan Abdul Hadi membolehkan beliau turut membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengharmonikan lagi hubungan diplomatik dan antarabangsa, khususnya dengan negara-negara di rantau itu.

Menurut Takiyuddin, Abdul Hadi juga akan menjalin kerjasama erat dengan Menteri Luar, Hishammuddin Tun Hussein dan Wisma Putra.

Selain itu, beliau berkata Pas akan menubuhkan satu Jawatankuasa Penasihat berbentuk ‘Hisbah’ bagi memantau tugas dan menasihati anggota kerajaan daripada kalangan ahlinya agar mereka dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan jujur dan terbaik.

“Memandangkan Presiden Pas turut berada dalam kerajaan, mungkin jawatankuasa itu akan dilantik daripada kalangan pimpinan Majlis Syura Ulamak Pas. 

“Sebelum ini, Pas mempunyai Jawatankuasa Penasihat Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden Pas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment