ERL gantung perkhidmatan

KUALA LUMPUR 3 April – Apabila banyak pesawat di dunia tersadai di landasan lapangan terbang dan pintu masuk kebanyakan negara menutup pintu masuk melalui udara, maka penumpang perkhidmatan sokongan di darat juga terpaksa mengalami nasib yang sama.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) tidak terkecuali apabila semua perkhidmatan trennya dihentikan mulai esok sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini disebabkan jumlah penumpang yang amat rendah sepanjang lapan hari lepas.

ERL dalam satu kenyataan hari ini berkata akibat pandemik Covid-19 semua penerbangan dihentikan dan hampir semua pejabat dan perkhidmatan ditutup, mengakibatkan  hampir tiada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan ERL yang terhad. 

Syarikat telah meminta nasihat pihak berkuasa berkaitan dan memutuskan untuk menggantung sementara perkhidmatannya dalam tempoh berkenaan.  ERL akan terus menyediakan perkhidmatan kepada semua penumpang sebaik sahaja PKP ditamatkan.

Sementara itu, ERL berkata penggantungan sementara perkhidmatan ERL di Kuala Lumpur mencerminkan keadaan sama dihadapi banyak negara seperti City Airport Train di Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express di London, Gautrain di Johannesburg, dan Airport Express Line di New Delhi.

ERL memohon maaf di atas kesulitan yang terpaksa dihadapi dan menasihatkan penumpang supaya mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka.

Ia menasihatkan penumpang supaya mengemukakan sebarang tiket yang tidak digunakan untuk pembayaran balik menerusi  Pertanyaan Pelanggannya.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari  www.KLIAekspres.com, Facebook KLIA Ekspres atau hubungi Pertanyaan Pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8.30 pagi – 6.00 petang waktu tempatan).

Attachment.png

Related posts

Leave a Comment