Covid-19 : Singapura ambil langkah pemutus litar

SINGAPURA mengambil langkah yang disifatkan sebagai ‘pemutus litar’ bagi membendung wabak Covid-19 yang semakin menunjukkan peningkatan sejak dua minggu lalu.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong berkata, di bawah langkah itu, kebanyakan tempat kerja, kecuali perkhidmatan penting atau sektor-sektor utama ekonomi akan ditutup.

Perkhidmatan penting termasuk tempat makan, pasar dan pasar raya, bank, klinik, hospital, perbekalan dan pengangkutan tidak terlibat.

“Sektor-sektor utama ekonomi adalah industri yang strategik atau penting dari segi ekonomi atau merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global yang tidak harus kita ganggu,” katanya dalam ucapan kepada rakyta Singapura petang ini.

Langkah itu yang akan bermula Selasa ini selama sebulan diharap dapat membantu  mengurangkan risiko letusan wabak yang besar dan ia juga seharusnya membantu menurunkan angka sedikit demi sedikit. 

Katanya, kerajaan tidak akan mengganggu sektor ekonomi strategik atau yang membentuk sebahagian daripada rantaian pembekalan global. Mereka yang bekerja di dalam industri ini masih boleh terus pergi kerja dengan mengamalkan jarakan sosial.

”Bekerja dari rumah, jika boleh dilakukan, harus menjadi norma. Ini adalah untuk memastikan sebahagian besar tenaga kerja kita duduk di rumah dan mengehadkan interaksi mereka dengan rakan-rakan sekerja secara fizikal,” katanya.

Langkah lain yang lebih ketat termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi beralih kepada pembelajaran  di rumah sepenuhnya. Singapura sudah memulakan pembelajaran dari rumah selama sehari minggu ini. 

Menurut Lee, Singapura juga akan mengetatkan kawalan pergerakan dan perhimpunan ramai.

“Ia berkisar kepada tiga perkara. Pertama, duduk di rumah sebanyak mungkin. Kedua, hindarkan bersosial dengan mereka di luar lingkungan isi rumah anda. Ketiga, keluar hanya untuk urusan penting sahaja,” katanya.   

Beliau sedar langkah itu sesuatu yang sangat susah untuk dilakukan, kerana kita semua mahukan teman dan berhubung dengan orang lain, serta berbual dan beramah tamah bersama rakan-rakan dan saudara-mara kita.

“Tetapi saya harap anda boleh bersabar dengan apa yang kita harus laksanakan, dan patuhi peraturan demi keselamatan anda sendiri dan kita semua,” katanya.

Dalam ucapannya, Lee juga menyentuh mengenai masyarakat Melayu/Islam dengan menggunakan  Bahasa Melayu.

Lee berkata beliau menghargai pengorbanan dan penyesuaian besar yang dilakukan masyarakat itu seperti memahami kenapa masjid ditutup dan menunda majlis keramaian yang penting seperti majlis perkahwinan.

“Seperti yang diterangkan Mufti, masyarakat Islam juga perlu membuat penyesuaian bagi Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang. Saya sendiri kecewa kita tidak akan ada bazar di Geylang Serai tahun ini, tetapi ini tidak boleh dielakkan.”

Lee memberi jaminan bahawa keadaan masih terkawal tetapi melahirkan rasa bimbang kemungkinan bilangan kes baharu akan melonjak dengan tinggi.

 

Related posts

Leave a Comment