PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia akan mencapai angka 1 juta orang dalam beberapa hari lagi.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sepanjang lima minggu lalu, telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam bilangan kes baru, menjangkaui hampir setiap negara, wilayah dan kawasan.
“Jumlah kematian lebih daripada dua kali ganda pada minggu lalu. Dalam beberapa hari akan datang kita akan mencapai 1 juta kes, dan 50,000 kematian,” katanya dalam ucapan pembukaan taklimat media mengenai Covid-19, pada Rabu, 1 April.
Angka terkini daripada daripada statistik Johns Hopkins University menunjukkan, setakat pukul 6 pagi 2 April waktu Malaysia, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di seluruh dunia adalah sebanyak 926,095.
Terdapat tiga negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 100,000 kes, didahului Amerika Syarikat (209,071), Itali (110,574) dan Sepanyol (102,179).
Sementara itu, terdapat tiga lagi negara yang mempunyai angka jangkitan melebihi 50,000 kes, iaitu China (82,361), Jerman (77,779) dan Perancis (57,749).
Negara yang berada di tempat keenam dan menghampiri angka 50,000 adalah Iran, dengan 47,593 kes jangkitan.
Sehingga kini, Itali kekal sebagai negara yang mempunyai kematian tertinggi iaitu 13,155 mangsa diikuti Sepanyol 9,131 dan Amerika Syarikat 4,757 manakala Perancis dan China masing-masing mencatatkan 4,032 dan 3,193 mangsa.
Namun, Iran dijangka akan melepasi angka kematian di China dalam beberapa hari akan datang kerana negara itu kini mempunyai 3,036 kes kematian. Manakala Britain dan Belanda mempunyai jumlah kes kematian sebanyak 2,352 dan 1173.
Negara lain masih mempunyai bilangan kematian kurang daripada 1,000 mangsa, namun terdapat dua negara dijangka melepasi angka tersebut dalam masa beberapa hari iaitu Jerman (920) dan Belgium (828).
Sementara itu Tedros berkata, banyak negara meminta orang ramai untuk tinggal di rumah dan mematikan pergerakan penduduk, yang boleh membantu untuk mengehadkan penyebaran virus.
Bagaimanapun ia memberi kesan kepada orang-orang termiskin dan yang paling lemah. Justeru beliau meminta kerajaan melaksanakan langkah-langkah kebajikan sosial untuk memastikan golongan ini mempunyai makanan dan keperluan kehidupan yang lain semasa krisis ini.
Di India, sebagai contoh, Perdana Menteri Modi telah mengumumkan pakej $ 24 bilion, termasuk makanan percuma untuk 800 juta orang miskin, pemindahan wang tunai kepada 204 juta wanita miskin dan gas masak percuma untuk 80 juta isi rumah untuk tiga bulan akan datang.
“Banyak negara membangun akan berjuang untuk melaksanakan program kebajikan sosial ini. Bagi negara-negara tersebut, pelepasan hutang adalah penting untuk membolehkan mereka menjaga rakyat dan mengelakkan kejatuhan ekonomi,” katanya.