Syair Corona di dalam Kitab “Azaim Al Duhur” adalah palsu

Oleh Nasharudin Mat Isa

Kelmarin saya menulis tentang sebaran berita palsu; tentukan sahih baru kongsi. Tidak sampai pun 24 jam tulisan saya itu keluar di laman facebook saya dan juga di ‘share’ oleh teman teman, hari ini tersebar satu lagi kepalsuan yang dikaitkan dengan agama.

Seperti yang saya nyatakan kelmarin, sumber berita palsu satu bab, tetapi turut merbahaya dan tidak bertanggung jawab adalah mereka yang menyebarkan berita atau maklumat tersebut, tanpa terlebih dahulu mempastikan samaada apa yang di ‘forward’ dan di ‘share’ itu benar atau tidak.

Kalau beberapa hari lepas, tersebar konon nya perkataan corona ini ada disebut dengan jelas di dalam Al Quran, terkini tersebar pula konon nya isu corona virus ini telah pun ditulis dan diperingatkan oleh ulamak ulamak terdahulu. Tular petikan satu halaman yang dikatakan syair yang diambil dari sebuah kitab yang diberi nama ‘عظائم الدهور ( Azaaim Al Duhur ) yang kononnya dikarang oleh seorang penulis yang bernama Abi Ali Al Dabiizi yang meninggal pada tahun 565 H.

Berita ini bukan sahaja sedang tular didalam negara kita, tetapi turut menjadi bahan perbualan di negara negara Arab, dan hasil carian oleh ramai mereka yang ingin mengetahui kesahihan kitab tersebut dan penulis nya, mendapati ianya adalah tidak benar. Kitab tersebut tidak pernah wujud dan penulis itu juga tidak diketahui tentang nya. Bagi mereka yang boleh berbahasa Arab, saya lampirkan dihujung artikel ini salah satu capaian lawan sesawang yang membicarakan hal ini.

Wahai mereka yang memulakan penipuan ini dan juga mereka yang menularkan nya tanpa sebarang usul periksa, takut lah kalian kepada Allah SWT. Ini adalah satu pembohongan dan penyebaran fitnah yang cukup tidak bertanggung jawab dengan menggunakan nama agama .

Saya sempat merujuk dan berbincang dengan Dr. Adel Al Ghiryani, seorang pakar dalam kitab kitab turath dan manuskrip Islam, yang telah memaklumkan bahawa kitab dan penulis tersebut tidak diketahui wujud didalam siri kitab kitab atau pun penulis penulis Islam.

Saya juga telah merujuk kepada beberapa sumber lain melalui carian internet dan kesemua mereka telah menyatakan bahawa tidak pernah ada didalam simpanan kutub khanah Islam, buku yang bernama azaaim duhur tersebut dan tidak pernah juga diketahui akan wujud nya seorang penulis yang nama nya Abu Ali Al Dabiizi.

Dari sumber sumber ini, maka jelas lah apa yang disebarkan itu adalah satu pembohongan dan tidak punya asas. Isu nya adalah , kenapa dan apakah motif ianya disebarkan. Apa kah agenda mereka yang tidak bertanggung jawab ini.

Yang lebih menghairankan saya adalah, ada orang yang mengambil inisiatif untuk menterjemahkan rangkap rangkap syair yang ditulis didalam bahasa Arab itu ke dalam Bahasa Melayu, dan ini bermakna orang yang menterjemahkan itu semesti nya lah faham Bahasa Arab. Kenapa tidak dirujuk terlebih dahulu akan kesahihan maklumat yang hendak di sebarkan atau disana memang ada niat untuk mengwujudkan sesuatu yang akan menimbulkan polimik didalam masyarakat, khasnya dikalangan orang orang Islam. Dimanakah amanah ilmu dan kaedah penyelidikan sebelum maklumat itu dijadikan tontonan awam. Lupakah dia akan Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (6)

‘Wahai orang orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, bertabayun (periksa dan teliti) lah dahulu supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejaholan kamu mengenai nya sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.’

Saya mula sedar akan perkara ini apabila dihantar maklumat ini didalam salah satu kumpulan whatsapp yang saya sertai. Tertera dalam ‘message’ itu; ‘ Tuan2 guru.. Ini syair ulamak kita ni.. bagaimana 1000 tahun yg lampau dia boleh cerita ttg covid19 dgn terperinci.. dan mmg tepat apa yg di sebut..’

Persoalan nya, siapa ulamak yang dimaksudkan itu, sedangkan penulis dan kitab tersebut tidak pun dikenali. Tanpa menafikan bahawa beberapa rangkap syair itu ada kebetulan nya dengan apa yang sedang kita hadapi, tetapi jangan lah pula di ada adakan sesuatu yang tidak wujud dan di kaitkan dengan agama hanya kerana ingin melariskan agenda sendiri.

Betul, kita perlu belajar dan mengambil iktibar dari apa yang sedang kita hadapi sekarang. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, selain dari aspek aspek sains, kesihatan dan keselamatan yang hendaklah kita serahkan untuk diuruskan oleh ahli ahli nya, kita sebagai orang awam hendak lah terus melaksanakan apa yang telah diarahkan oleh pihak yang berwajib sambil terus berdoa kepada Allah SWT agar menghindarkan kita dari wabak ini dan juga segera menghilangkan nya dari kita semua.

Bandar Bukit Mahkota
Kajang
31.3.2020

Related posts

Leave a Comment