TEMBAK mati. Itu amaran keras Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terhadap mereka yang menimbulkan masalah dengan mengingkari perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Beliau yang menunjukkan keseriusan itu dalam ucapan di televisyen lewat Rabu, juga berkata, tiada tolak ansur akan diberikan buat pihak yang melakukan serangan terhadap petugas perubatan yang dianggap sebagai satu jenayah serius ketika ini.
Katanya, rakyat perlu memberi kerjasama dengan mematuhi arahan duduk di rumah sebagai langkah mengekang penularan wabak itu dan pada masa sama memberi ruang kepada sistem kesihatan negara itu yang berhadapan cabaran besar untuk menampung jumlah pesakit yang tinggi.
“Ia semakin teruk. Jadi saya tekankan lagi sekali betapa serius masalah dihadapi negara ketika ini dan anda semua perlu mendengar.
“Arahan saya kepada polis dan tentera, sekiranya ada masalah dan situasi yang tidak mengikut arahan sehingga membahayakan, tembak mereka sampai mati.
“Adakah ia boleh difahami? Mati. Selain mencetuskan masalah, saya akan ‘kebumikan’ kamu,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas media tempatan melaporkan berlaku kekecohan dan penahanan dalam kalangan penduduk kawasan miskin di negara itu yang mempersoalkan bantuan bekalan makanan oleh kerajaan.
Dalam pada itu terdapat juga insiden diskriminasi terhadap pasukan perubatan di hospital yang didakwa diserang secara fizikal.
Ketua Polis Negara Filipina pada Khamis, bagaimanapun, menafikan akan bertindak untuk menembak mereka yang ingkar dan beliau memahami ‘ugutan keras’ kerajaan itu hanya untuk menunjukkan betapa seriusnya masalah dihadapi ketika ini.
Setakat 2 April, Filipina mencatatkan 2,311 kes jangkitan dengan 96 kematian selepas negara itu melaksanakan perintah berkurung pada 14 Mac.