Bill Gates cadang darurat

ISYTIHAR darurat seluruh Amerika Syarikat. Itu saranan pengasas syarikat perisian terkemuka Microsoft Corporation, Bill Gates kepada kerajaan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

Gates dalam tulisannya di portal Washington Post berkata beliau telah berbincang dengan pakar dan dimaklumkan bahawa usaha itu tidak akan efektif jika hanya satu atau dua negeri mengeluarkan perintah berkurung manakala yang lain terus dibuka.

Beliau mendakwa pendekatan mengisytihar perintah berkurung di seluruh negara amat diperlukan  kerana masih ada negeri dan negara yang tidak ditutup sepenuhnya walaupun ada desakan daripada pakar-pakar kesihatan awam.

“Terdapat beberapa negeri yang mana pantainya masih dibuka dan sebahagian lagi dengan restoran yang masih menyajikan kepada pelanggan yang makan di kedai,” kata Gates.

Tegas beliau, semua tindakan itu adalah resipi kepada bencana kerana orang ramai boleh melakukan perjalanan ke luar negara dan membawa bersama mereka virus tersebut.

“Pemimpin-pemimpin negara perlu jelas bahawa menutup mana-mana kawasan bermakna menutup semua kawasan.

“Sehingga kes jangkitan menunjukkan penurunan di seluruh Amerika Syarikat — yang mana boleh mengambil masa 10 minggu atau lebih — tiada pihak boleh meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa atau ambil ringan tentang usaha itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Gates berkata penghasilan vaksin hanyalah separuh daripada perjuangan dan pengeluarannya perlu dipertingkat untuk memenuhi permintaan di seluruh dunia.

“Kita boleh bermula sekarang dengan membangunkan beberapa fasiliti di mana vaksin ini dapat dihasilkan,” kata Gates.

Beberapa negeri seperti New York, New Jersey dan Washington yang terjejas teruk akibat Covid-19 memaksa penduduknya berkurung. Manakala di negeri lain dengan jumlah kes yang tidak ketara hanya melaksanakan arahan biasa.

Related posts

Leave a Comment