KUALA LUMPUR: Dalam situasi negara bertarung dengan wabak Covid-19, ‘penjenayah’ tidak duduk diam. Walaupun tidak bebas bergerak ke sana sini melalui jalan raya kerana ada sekatan polis, mereka menggunakan online atau alam siber untuk menipu orang ramai.
Berikutan pengumuman insentif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) semalam, kerajaan telah mengesan beberapa cubaan untuk menipu rakyat, terutamanya berhubung pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 393 kertas siasatan, termasuk kes berhubung penipuan penjualan dalam talian.
Oleh kerana banyak insentif (dalam pengumuman PRIHATIN), ramai cuba mengambil kesempatan untuk menipu rakyat kita dan sebagainya. Kes scammer begitu banyak sekali…misalnya sejak PKP dilaksanakan sehingga 25 Mac, PDRM telah membuka 393 kertas siastan penjualan palsu dalam talian.
“Bila kerajaan umum boleh dilakukan pengeluaran untuk KWSP, scammers mengambil kesempatan untuk membuat penipuan dengan mengeluarkan tawaran melalui media sosial dan sebagainya, yang meminta mereka yang ingin keluarkan wang mereka dengan memberi nombor kad pengenalan, malah nombor akaun bank,” katanya lagi.
Ismail, yang juga Menteri Pertahanan berkata, rakyat perlu lebih berhati-hati supaya tidak terjebak atau terpedaya dengan kegiatan penipuan seperti itu.
Katanya, rakyat perlu mengikut prosedur yang betul seperti mendapatkan maklumat yang tepat dari KWSP, atau merujuk kepada sumber yang sahih mengenai sesuatu perkara yang mereka sendiri kurang pasti.