Orang kaya India bantu kerajaan

SEBAIK sahaja Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung di negara itu, industri perbankan dan perkilangan mengambil inisiatif dengan menawarkan bantuan kepada kerajaan mengikut kepakaran masing-masing.

Forbes dalam laporannya menyebut lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani mengumumkan pelan jangka panjang yang melibatkan ‘pencegahan, pengurangan dan sokongan secara berterusan’.

Yayasan Reliance milik Ambani, dilaporkan menubuhkan kemudahan pusat saringan Covid-19 yang pertama di India dengan kelengkapan 100 katil yang mempunyai alat bantuan pernafasan (ventilator), alat pemeriksaan jantung dan mesin dialisis di Hospital Seven Hills di Mumbai.

Reliance juga memberi bantuan makanan kepada orang ramai di seluruh bandar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta menawarkan bantuan bahan api secara percuma bagi kemudahhan pengangkutan hospital termasuk pesakit yang berada dalam tempoh kuarantin.

Selain itu, Hospital Yayasan Reliance juga mempunyai kemudahan pusat kuarantin dan mengimport lebih banyak kit ujian.

Pemain industri terkaya di India yang lain juga memainkan peranan dalam mengurangkan beban memerangi wabak Covid-19. Mereka termasuklah :

ANAND MAHINDRA – Pengerusi Mahindra Group, menggunakan duit gajinya bagi membantu pihak yang memerlukan serta menubuhkan dana bertujuan membantu peniaga-peniaga kecil yang kini mengalami kesukaran. Mahindra sebelum ini juga mengatakan bahawa pasukannya bersedia bekerjasama dengan pihak kerajaan atau tentera untuk membina pusat penjagaan sementara.

ANIL ARGAWAI – Pemilik Vedanta Resources, mengumumkan penubuhan dana AS$13 juta (RM57 juta) yang disasarkan terutamanya di beberapa aspek iaitu pekerja gaji harian, kakitangan dan pekerja kontrak, petugas kesihatan dan komuniti yang terlibat dengan Vedanta.

VIJAY SHEKAR SHARMA – Pengasas platform pembayaran digital Paytm, menjanjikan bantuan sebanyak AS$ 650,000 (RM2.8 juta) bagi inovasi perubatan yang berkaitan dengan COVID-19.

SRIDHAR VEMBU – Pengasas firma perkhidmatan Zoho Corp, mengumumkan Program Bantuan Langganan Kecemasan Perniagaan Kecil yang memberi manfaat kepada 20,000 pelanggan perniagaan kecil.

BYJU RAVEENDRAN – Pengasas Edtech Byju yang juga seorang jutawan menawarkan akses percuma ke aplikasi Byju, yang menawarkan pelajaran matematik dan sains bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun.

Related posts

Leave a Comment