Empat inisiatif hadapi Covid-19

MESYURAT Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini, 23 Mac telah memutuskan beberapa inisiatif utama yang diharap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh rakyat ketika penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sedar pada waktu ini antara perkara utama yang sedang bermain di fikiran sebahagian besar rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, ialah bagaimana untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Saya tahu dalam keadaan krisis yang sedang kita lalui ini, ramai yang kehilangan sumber pendapatan. Peniaga-peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, malah para majikan pun ramai yang menanggung kerugian kerana perusahaan dan perniagaan mereka terpaksa ditutup buat sementara waktu,” katanya.

Inisiatif-inisiati ini adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan dumumkan dalam masa terdekat.

Inisiatif-inisiatif yang diputuskan hari ini adalah:

PERTAMA : Kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion.  Mukai 1 April, ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

KEDUA : Peruntukan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi  membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal.  RM100 juta untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

KETIGA : Peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu negeri menangani krisis COVID- 19. Peruntukan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

KEEMPAT : kerajaan juga  memberi lanjutan masa dari 3 bulan kepada 6 bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan kutipan RM750 juta. Penangguhan ini berkuatkuasa serta-merta hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN.

Kerajaan juga akan memberi penutup hidung dan mulut percuma kepada mereka yang memerlukan.

“Sama ada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan. InsyaAllah, jika diizinkan oleh Allah SWT saya akan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac 2020,” kata Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment