Jangan biarkan barisan hadapan kita tumbang

HARGAILAH mereka, barisan hadapan perkhidmatan kesihatan yang sedang bertungkus lumus menyelamat dan mencegah penularan wabak Covid-19. Mereka kini ibarat di medan perang. Musuh mereka ada yang di depan mata tetapi yang lebih menyukarkan adalah bagi menghadapi musuh yang tidak kelihatan.

Tidak ada jaminan ketika sedang ‘berjuang’ itu, tiba-tiba mereka ‘diserang’ dari segenap penjuru. Jika bernasib baik akan selamat, jika tidak tewas.

Begitulah realiti kehidupan petugas-petugas kesihatan hari ini dalam usaha merawat, mencegah dan mengekang wabak koronavirus Covid-19. Dengan kes yang terus meningkat, kematian bertambah, kini tugas mereka semakin berat dan mencabar, yang menuntut kesabaran amat tinggi.

Justeru apa peranan kita yang ada di barisan belakang? Adakah membiarkan mereka bersendirian ‘bertarung’ dalam pertempuran yang belum pasti kesudahannya? Adakah sekadar menjadi pemerhati, membiarkan mereka diserang habis-habisan sehingga tumbang atau menyerah kalah?

Tidak mungkin mereka menyerah kalah. Apa yang mungkin berlaku adalah mereka semakin lemah. Kekuatan fizikal dan mental serta moral merosot setelah rakan-rakan yang turut bersama ‘cedera’ seorang demi seorang yang juga memerlukan bantuan mereka.

Sanggupkah kita melihat suasana ini? Apakah pengorbanan yang boleh kita lakukan untuk membantu dan menyokong mereka dari belakang?

Tidak seberapa pengorbanan yang ditagih. Hanya DUDUKLAH DI RUMAH. Satu kerja mudah berbanding mereka di barisan hadapan. Kita di barisan belakang juga memainkan peranan amat besar bagi membendung gelombang yang boleh melemahkan kekuatan barisan hadapan.

Peranan kita menahan ‘kemaraan’ musuh yang semakin menggila. Masyarakat bertanggungjawab menyekat kemaraan koronavirus ini walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar. Kita masih ada harapan asalkan rakyat menunjukkan semangat muafakat serta perikatan yang kukuh.

Hanya lebih kurang sembilan hari (mudah-mudahan) untuk kita akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangusng. Hari ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turun ke lapangan bagi membantu pihak polis menguatkuasakan peraturan. Semoga keadaan lebih baik.

Berilah kerjasama, ikuti garis panduan. Ingatlah, saban hari semakin bertambah kes kerana rantaian wabak ini belum ‘mati’ di pertengahan jalan sebaliknya sentiasa terpaut dengan mangsa baharu yang tidak mengenal siapa mereka.

Lebih membimbangkan apabila virus ini menyapa anggota barisan hadapan kita yang tugas mereka untuk menyelamat tetapi mereka pula yang perlu diselamatkan.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya barisan hadapan ini lumpuh kerana keletihan dan kecewa dengan kes yang terus bertambah.

Bayangkan jika barisan hadapan ini tumpas. Bukan Covid-19 sahaja yang perlu dihadapi tetapi penyakit-penyakit lain juga memerlukan perhatian barisan ini. Bayangkan satu persatu hospital terpaksa menampung Covid-19. Apa terjadi kepada mereka yang menghidap tiga serangkai, kemalangan dan lain-lain?

Apa lagi yang hendak dijelaskan. Siapa lagi yang boleh merayu supaya tidak ada yang keras kepala, degil, ingkar arahan? Bukan setakat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang merayu, bahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kita harus belajar apa yang berlaku di Itali sehingga jumlah kematian di negara itu mengatasi China, tempat bermulanya wabak ini. Pada masa yang sama kita contohi Wuhan yang menjadi titik tengah wabak ini bagi mengekang Covid-19.

Orang politik yang berpengaruh, jangan lupa merayu pengundi mereka untuk duduk di rumah. Jangan pandai merayu undi semasa pilihan raya sahaja. Masa sekarang bukan untuk menunjukkan kedegilan atau keangkuhan terhadap pemerintah. Jangan cabar kerajaan dengan tindakan yang merumitkan keadaan.

Justeru kita harus sama-sama berikhtiar mencari jalan keluar masalah ini. Wuhan telah mengambil empat langkah iaitu:

1. Penjarakan sosial secara agresif, sekatan ketat kepada penduduknya. Menjarakkan diri daripada mengadakan kontak fizikal dengan sembarangan orang dapat memutuskan rantaian jangkitan. Walaupun merasakan diri kita sihat tetapi, virus itu boleh dibawa oleh tubuh kita dan menjangkiti orang lain, walaupun sebelum tubuh kita menunjukkan sebarang simptom.

2. Pemeriksaan meluas. Ada kelompok yang enggan membuat pemeriksaan walaupun ada sejarah pertemuan dengan kelompok suspek, kerana merasakan diri masih sihat. Jika anda pernah menyertai mana-mana perhimpunan yang didapati dihadiri pembawa virus, tolong tampil dan buat pemeriksaan.

3. Bersedia dengan lonjakan jumlah pesakit. Wuhan segera membina beberapa kompleks hospital baharu untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19 di wilayah itu. Ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan dan persediaan awal perlu dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bekalan perubatan, jumlah kekuatan kakitangan serta ruang merawat pesakit menjadi perkara utama yang perlu diurus sebaiknya.

4. Perintah Kawalan Pergerakan. Ini langkah yang amat memerlukan kerjasama rakyat khususnya. Kerajaan sudah mengeluarkan perintah, dan ianya perlu dipatuhi semua lapisan masyarakat tidak kira siapa. Misi besar kita memenangi peperangan melawan wabak ini yang bermula dengan usaha memutuskan rantaian jangkitan.

Sahut dan hormatlah Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytihar berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini. Mudah-mudahan wabak ini akan segera hilang dari muka bumi bertuah Malaysia ini.

Related posts

Leave a Comment