Kematian hampir 5,000

KES kematian akibat COVID-19 seluruh dunia hampir mencecah 5,000 mangsa apabila angka rasmi setakat  pukul 11 pagi Jumaat, menunjukkan 4,979 kes seluruh dunia manakala angka jangkitan positif Covid-19 mencecah 134,702 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70,381 pesakit telah sembuh daripada wabak tersebut.

Bagaimanapun setakat 5 petang, angka yang ditunjukkan oleh thebaselab menunjukkan kematian 4,981 orang manakala angka cna sebanyak 4,969 kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, iaitu merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Virus itu telah menyerang 127 buah negara dengan sebuah kapal pesiaran yang mempunyai penumpang lebih daripada 3,500 orang iaitu Diamond Princess.

China masih merekodkan jumlah jangkitan dan kematian tertinggi setakat ini dengan masing-masing sebanyak 80,814 dan 3,176.

Sementara itu, Itali merekodkan kes kematian tertinggi di luar China dengan melebihi angka 1,000 mangsa iaitu 1,016, pada Jumaat.

Jumlah kes jangkitan di negara itu pula mencecah 15,113.

Iran pula merupakan negara ketiga tertinggi kes jangkitan positif Covid-19 dengan jumlah kes mencecah 10,075 dan 429 kematian.

Korea Selatan pula menjadi negara keempat tertinggi jangkitan yang menyertai tiga negara teratas mempunyai kes positif melebihi 5,000 dengan 7,979 kes positif manakala 67 kes kematian.

Berkuatkuasa hari ini (Jumaat), rakyat dari Itali, Iran dan Republik Korea serta warga asing dari negara itu tidak dibenarkan masuk ke Malaysia atau transit di mana-mana pintu masuk antarabangsa (PMA).

Larangan sama dikenakan terhadap rakyat dari Denmark bermula 14 Mac.

Related posts

Leave a Comment