Faizal kekal MB Perak

IPOH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengangkat sumpah jawatan  sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di bawah pentadbiran kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Menteri Besar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran PH terbubar selepas Ahmad Faizal melepaskan jawatan Menteri Besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu.

Sehari sebelum itu, PN mengumumkan mempunyai majoriti 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus memberi laluan kepada mereka membentuk Kerajaan negeri Perak yang baharu.

Ia merangkumi 25 kerusi Barisan Nasional, empat kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga kerusi Pas.

Ahmad Faizal, 50, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh.

Beliau pernah menjadi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah dan sebelum itu pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi juga dalam pertembungan tiga penjuru. Semasa PRU-14, PH memenangi 29 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi dan Pas (tiga kerusi).

Related posts

Leave a Comment