Mencari keadilan MH17

HARI ini genap enam tahun kehilangan pesawat MH370. Sehingga sekarang tidak diketahui di mana pesawat itu serta nasib penumpang dan anak-anak kapal. Esok pula satu lagi pesawat milik Penerbangan Malaysia akan menjadi tumpuan. Kali ini MH17 pesawat yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Perbicaraan yang akan menyaksikan prosiding jenayah ke atas empat individu yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17, dijadual berlangsung di Mahkamah Daerah The Hague, di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di Badhoevedorp.

Tiga tertuduh warga Russia dan seorang rakyat Ukraine akan menjadi tumpuan dunia khususnya keluarga mangsa.

Dunia ingin tahu apa sebenarnya berlaku daripada warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang warganegara Ukraine, Leonid Kharchenko.

Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, telah ditembak jatuh ketika melewati ruang udara  Donetsk di Ukraine. Insiden itu mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia.

Dunia khususnya keluarga mangsa inginkan keadilan. Mereka ingin tahu apa sebenarnya berlaku, mengapa ia berlaku dan siapakah yang bertanggungjawab.

Mahkmah Daerah The Hauge, JCS, sebuah fasiliti dengan kawalan keselamatan yang ketat di Badhoevedrop bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol.

Perbicaraan itu akan disiarkan secara ‘live stream’ di laman sesawang www.courtMH17.com dalam bahasa Inggeris dan Belanda pada kesemua tarikh perbicaraan.

Mahkamah telah menetapkan 25 minggu untuk perbicaraan. Tarikh tersebut ialah 9 hingga 13 Mac, 8 Jun hingga 3 Julai dan 31 Ogos hingga 13 Nov.  Manakala pada 2021, perbicaraan ditetapkan pada 1 Feb hingga 26 Mac. 

Sebuah pusat media telah dibina di luar bangunan tersebut bagi kemudahan lebih 400 wartawan dari seluruh dunia.

Tiga hakim akan mengendalikan perbicaraan dengan dua lagi hakim akan bertindak sebagai gantian.

Keluarga dan waris keluarga yang tidak mendapat tempat dalam mahkamah akan mengikuti prosiding melalui sidang video di Pusat Media JCS.

Related posts

Leave a Comment