Kes China meningkat, Itali sedia kuarantin

BEIJING : China melaporkan 27 kematian baharu hari ini akibat wabak Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang meninggal dunia di seluruh negara mencecah 3,097.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan, terdapat 44 kes baharu dicatatkan, sebahagian besarnya di Wuhan.

Dari jumlah itu, hanya tiga kes dilaporkan berlaku di luar wilayah Hubei iaitu di Beijing dan wilayah Gansu, barat laut China.

Jangkitan terbaharu di wilayah Hubei semakin menurun sejak beberapa minggu lalu dan jumlah 41 itu adalah yang terendah sejak perintah kuarantin dilaksanakan di wilayah terbabit bermula akhir Januari lalu.

Jumlah kes baharu di seluruh negara turut menunjukkan penurunan, namun kehadiran kes dari luar mencetuskan kebimbangan bahawa virus berkenaan boleh merebak semula.

Sementara itu, di Pnom Penh seorang rakyat Kemboja telah diuji positif Covid-19.

Lelaki berusia 38 tahun itu adalah seorang daripada empat orang yang diuji kerana dia mempunyai hubungan langsung dengan pelawat Jepun yang kemudiannya diuji positif virus itu, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Or Vandin, pada sidang akhbar.

Rakyat Jepun itu telah meninggalkan Kemboja dari Siem Reap, berhampiran kuil purba Angkor Wat, salah satu tarikan pelancong di rantau ini.

Kemboja sebelum ini melaporkan jangkitan virus itu membabitkan lelaki China. Dia telah pulih dan pulang ke rumah.

Di ROM, kerajaan Itali bersiap sedia untuk melaksanakan perintah kuarantin ke atas lebih 10 juta penduduk di sekitar ibu negara dan Venice selama hampir sebulan, bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Satu draf perintah yang disiarkan akhbar Corriere Della Sera dan beberapa media lain menyebut, pergerakan keluar masuk ke negara itu akan diperketatkan sehingga 3 April.

Perintah atau laporan media bagaimanapun tidak menyebut tarikh peraturan berkenaan akan mula dikuatkuasakan..

Corriere Della Sera berkata, arahan berkenaan wajib dipatuhi dan mana-mana individu akan dipenjara jika didapati bersalah melanggar peraturan baharu itu.

Ini adalah antara usaha kerajaan Itali dalam memerangi COVID-19 di peringkat global, selepas penyebaran wabak itu yang menjejaskan pasaran saham dan melumpuhkan bekalan sejak kali pertama dikesan di China, akhir tahun lalu.

Negara yang mempunyai 60 juta penduduk itu merekodkan 233 kematian dan 5,883 jangkitan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Virus itu kini merebak ke kesemua 22 kawasan di Itali dan turut mencatatkan kematian pertama.

Related posts

Leave a Comment