PUTRAJAYA: Malaysia turut mengambil langkah menyekat sementara pelawat dari tiga negara, berkuat kuasa serta merta berikutan penularan wabak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sekatan itu membabitkan pelawat dari bandar dan negara Jepun (Hokkaido); Itali (Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna) serta Iran (Tehran, Qom dan Gilan).
Pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke bandar dan negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara ini.
“Mengambil kira status semasa penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang kedua, kerajaan memutuskan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke bandar berkenaan.
“Bagi mereka yang sudah berada di bandar atau wilayah berkenaan, mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia di luar negara turut digalakkan untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran,” katanya.
Malaysia turut menutup sementara penggunaan sistem ‘Autogate’ dan ‘E-gate’ di semua pintu masuk seluruh negara mulai semalam sebagai langkah menangani penularan jangkitan Covid-19.
Semalam Singapura turut menyekat kemasukan pelawat dan transit dari negara-negara Korea Selatan, utara Itali dan Iran.
Di Jakarta, Indonesia melarang kemasukan dan transit pelawat asing yang berada 14 hari di bandar yang dilanda wabak Covid-19 di Iran, Itali dan Korea Selatan, bermula 8 Mac.
Pelancong yang datang dari tempat lain dari tiga negara terbabit perlu menyediakan sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk menyatakan bahawa mereka sihat.
Langkah itu mengikuti larangan yang sama terhadap kemasukan dan transit pelawat dari tanah besar China untuk mengehadkan penyebaran virus.
Penduduk Indonesia yang pulang dari tiga negara terbabit, terutama mereka yang pergi ke kawasan yang dilanda wabak, juga akan menghadapi pemeriksaan kesihatan tambahan.