Negara dijangkiti Covid-19 meningkat

PENULARAN wabak koronavirus Covid-19 yang bermula di Wilayah Wuhan, China semakin meluas apabila beberapa negara mencatatkan kes pertama mereka sejak beberapa hari lalu.

Negara baharu yang menerima kesan wabak itu termasuklah Romania, Greece, Pakistan, Algeria, Croatia dan Switzerland. Bagaimanapun tidak pasti jumkah negara terlibat kerana ada yang melaporkan 38 malahan melebihi 40 negara.

Wabak itu setakat ini telah meragut lebih 2,700 nyawa, kebanyakannya di China sementara jumlah jangkitan melebihi 81,000 kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, buat pertama kalinya, jumlah kes baharu berkaitan penularan wabak Itu yang dilaporkan di luar China lebih tinggi berbanding dengan kes baharu di republik tersebut.

WHO berkata jumlah kes baharu di China ialah 411 pada Selasa, manakala di negara lain pula ialah 427 kes.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata setakat pagi Rabu, 78,190 kes, direkodkan di China dan angka tersebut juga merangkumi 2,718 kes kematian.

Beliau mengakui peningkatan kes di luar China mendorong WHO untuk pertimbang mengisytiharkan wabak tersebut sebagai pandemik.

WHO pada Selasa lalu mengingatkan negara-negara di benua Afrika supaya meningkatkan tahap persediaan dan langkah pencegahan.

Ini berikutan Kementerian Kesihatan Algeria mengesahkan kes Covid-19 pertama, (kedua di benua itu) selepas seorang lelaki warga Itali yang tiba di negara itu pada 17 Februari positif dijangkiti virus berkenaan.

Algeria satu dari 13 negara menjadi keutamaan WHO untuk langkah-langkah persediaan memandangkan ramai penduduk negara itu melakukan perjalanan ke China.

Sementara itu Romania mencatatkan kes yang pertama membabitkan seorang lelaki dari Gorj, semalam, kata Menteri Kesihatan, Victor Costache.

Lelaki itu mempunyai kontak secara langsung dengan seorang rakyat Itali yang berkunjung ke Romania, awal bulan ini. Itali mencatatkan penularan terbesar di Eropah dengan lebih 400 kes dan 12  kematian.

Di Pakistan, dua kes pertama dilaporkan yang melibatkan seorang pemuda berusia 22 tahun di Karachi yang mempunyai sejarah lawatan ke Iran. Kes kedua pula difahamkan berlaku di Islamabad.

(Grafik setakat 8 pagi 27 Februari 2020)

Related posts

Leave a Comment