Menteri KDN ulas Peguam Negara

22 FEBRUARI 2020
KENYATAAN MEDIA MENTERI DALAM NEGERI
MENGENAI KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA MENGHENTIKAN PROSIDING TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG MENYOKONG KUMPULAN LIBERATION TIGERS OF TAMIL EELAM (LTTE)

1. Saya ingin merujuk Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Peguam Negara
berhubung keputusannya untuk menghentikan prosiding jenayah di mahkamah terhadap
individu-individu yang menyokong kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)
pada 21 Februari 2020. Peguam Negara juga turut mencadangkan supaya saya selaku
Menteri Dalam Negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.
2. Adalah ditegaskan bahawa menurut seksyen 66B (1) Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram
(AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menyenaraikan
individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang
Ditentukan (specified entity) setelah menerima maklumat yang diberikan oleh PDRM.
Senarai tersebut diwartakan dalam Warta Persekutuan.
3. Seksyen 66B (9) pula menyatakan bahawa Menteri Dalam Negeri boleh
mengekalkan atau mengeluarkan Entiti Yang Ditentukan tersebut daripada senarai
berdasarkan alasan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa kawal selia atau
pengawasan yang berkaitan atau mana-mana badan atau agensi lain.
4. Kedua-dua seksyen berkenaan tidak menyatakan hanya entiti yang masih
bergerak aktif sahaja yang boleh disenaraikan sebagai Entiti Yang Ditentukan.
Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan
terkini yang mempunyai kredibiliti seperti daripada pihak PDRM. KDN tidak akan
mempertimbangkan sebarang maklumat yang bersifat khabar angin dan sembarangan.

5. Berdasarkan maklumat yang diterima, KDN mempunyai asas yang kukuh untuk
mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas. Kumpulan ini
dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap
ketenteraman awam dan keselamatan negara. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab
pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi
membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan
kumpulan ini.
6. Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengisytiharkan dan
mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-
masing. Antaranya ialah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Related posts

Leave a Comment