Mengingati Hello Boss

ALFATIHAH buat mantan rakan sekerja Utusan, Allahyarham Zaidi Md Yusop @ Dee yang genap setahun kembali ke rahmatullah. Dee yang popular dengan kartun Hello Boss meninggal dunia pada 19 Februari 2019. Mungkin rakan-rakan sekerja masih ingat berita arwah dimasukkan ke Hospital Colombia Asia, Cheras, 7.15 pagi hari berkenaan selepas mengadu sesak nafas dan meninggal 15 minit kemudian.

Selepas tarikh itu, tiada lagi karya terkininya yang menghiburkan pagi pembaca Utusan Malaysia. Hanya karya lama diulang siar bagi mengisi kekosongan itu sehinggalah Utusan Malaysia juga ‘mati’ meninggalkan bangunan dan nama.

Dee telah melahirkan karya Hello Boss di Utusan Malaysia sejak 1991, setiap Isnin hingga Jumaat. Isu yang selalu menjadi bahan karyanya adalah berkaitan suasana pekerja dan bos di pejabat. Watak-watak utamanya adalah Bos, Rosli, Liza dan kakitangan lain.

Pastinya ramai yang merindui celoteh Hello Boss tetapi semuanya itu sudah berakhir. Dee pergi dulu meninggalkan karyanya sebelum Utusan Malaysia dimatikan mulai 10 Oktober 2019. Tenanglah Dee di sana sementara rakan-rakan yang masih bernafas terus bergelut dengan ‘dunia baru’ mereka bagi menyambung kehidupan diri dan keluarga.

Pada masa yang sama, para pembaca Utusan Malaysia  juga pastinya merindui Mamak Cyber. Entah di mana Mamak Cyber ‘berniaga’  pagi ini. Adakah warung Mamak Cyber akan berpindah dari Jalan Utusan ke Jalan Riong?

Yang pasti Kak Ani masih berniaga di Jalan Utusan walaupun berpindah lokasi dari kafe ke gerai berhadapan bangunan Utusan.

Related posts

Leave a Comment