Dua lagi kes di Malaysia

KUALA SELANGOR – Ketika jumlah kematian di China melebihi 1,500 orang,  dua lagi kes positif virus Covid-19 disahkan di negara ini hari ini, Sabtu, 15 Februari 2020 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 21 orang.

Menurut Menteri Kesihatan,  Dr Dzulkefly Ahmad, dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.

Kini Malaysia menduduki tangga keenam daripada 26 negara yang disahkan terlibat dalam wabak baharu ini.

Dr. Dzulkefli berkata, kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

“Berikutan itu sampel klinikal  (throat swab)  telah diambil untuk tujuan pengesahan dan beliau dimasukkan di wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah. Pagi ini sampel ‘throat swab’ itu disahkan positif Covid-19.

“Bagi kes ke-21, seorang wanita berusia 32 tahun yang menetap di negara ini tetapi membuat lawatan ke China pada 22 hingga 30 Januari lepas. Beliau disahkan positif pagi ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman Desa Coalfield, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihati rakyat agar tidak panik dengan jangkitan virus Covid-19 kerana kerajaan telah bersiapsiaga menghadapi situasi itu.

Dr Dzulkefly berkata walaupun kadar penularan virus itu tinggi di China iaitu pada kadar 4.8 hingga lima peratus, kadar penularan penyakit itu di Malaysia dan negara-negara lain seluruh dunia hanyalah pada kadar 0.5 hingga satu peratus.

“Kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) yang kadar penularannya pada 10 peratus dan 30 peratus,” katanya.

Related posts

Leave a Comment