KEMATIAN Dr. Li Wenliang, 34, di sebuah hospital di Wuhan diratapi dalam media sosial dengan menyifatkannya sebagai wira dan mangsa tragik dan menggambarkan ketidakcekapan pihak berkuasa tempatan dalam menangani kemunculan virus itu pada peringkat awal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan rasa sedih dan mengucapkan takziah atas pemergian Dr Li yang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.58 pagi ini di Hospital Pusat Wuhan.
“Kami amat sedih atas pemergian Dr Li Wenliang. Apa yang kita perlu buat ialah meraikan usaha yang telah dilakukannya,” kata Pengarah Eksekutif WHO, Dr Mike Ryan ketika dimaklumkan pemberita tentang pemergian Dr Li.
Hospital Pusat Wuhan pula dalam kenyataannya turut mengucapkan takziah dan meratapi pemergian itu.
“Pakar oftalmologi Li Wenliang dari hospital ini, yang menghidap pneumonia akibat jangkitan koronavirus baharu, meninggal dunia pukul 2.58 pagi pada 7 Februari 2020 walaupun setelah berbagai usaha dilakukan,” kata kenyataan itu.
Doktor itu disahkan menghidap koronavirus pada 1 Februari lalu setelah mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari akibat dijangkiti salah seorang pesakitnya.
Dr Li merupakan individu terawal bercakap mengenai koronavirus berkenaan sebagai ancaman awam apabila pada 30 Disember lalu, dia memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.
Bagaimanapun, kerana tindakannya itu, beliau dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.
Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.
Pakar mata itu kembali bekerja selepas itu tanpa mengetahui salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.
Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.