SEPANG 4 Feb . – Pesawat khas AirAsia yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV),  mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada 5.57 pagi yang membawa 107 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat itu.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin yang turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.

 

 

Related posts

Leave a Comment