Kematian pertama di Hong Kong

HONG Kong  mencatatkan kematian pertama pada pagi ini  apabila seorang lelaki, berusia 39 tahun, meninggal dunia akibat jangkitan wabak coronavirus.

Ini merupakan kematian kedua di luar China selepas Filipina sementara China terus mencatatkan kematian dengan 425 orang.

Mangsa adalah penduduk Hong Kong yang mengunjungi Wuhan, lokasi penularan wabak coronavirus dan pulang ke rumah pada 23 Januari lalu, menggunakan kereta api laju.

Seramai 20,000 individu merentasi China dijangkiti wabak coronavirus, selain menular ke lebih 20 negara sejak penularan wabak itu di Wuhan, akhir tahun lalu.

Kebanyakan kes kematian di China berlaku di Wuhan dan kawasan di sekitar wilayah Hubei dengan kebanyakkannya berada dalam perintah berkurung hampir dua minggu.

Pihak berkuasa Hospital Hong Kong berkata, maklumat lanjut berkenaan mendiang akan didedahkan lewat hari ini.

Beberapa agensi berita tempatan memetik sumber kesihatan sebagai berkata, lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan yang merumitkan proses rawatan.

Kematian lelaki terbabit berlaku sehari selepas pemimpin Hong Kong mengumumkan penutupan semua kecuali dua sempadan ke tanah besar China bagi membendung penularan wabak coronavirus.

Sehingga kini, seramai 15 orang didapati positif virus itu di Hong Kong dengan kebanyakkan mereka tiba dari bandar raya separa autonomi di tanah besar.

Tindak balas Kerajaan Hong Kong membendung penularan wabak itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan awam yang menggesa sempadan ditutup sepenuhnya. Malah, berlaku mogok membabitkan petugas perubatan serta kekurangan topeng muka, sejak semalam.

Related posts

Leave a Comment