Kenapa tiada khutbah khusus Coronavirus?

HARI ini sudah masuk Jumaat kedua isu coronavirus diperkatakan. Malahan kes jangkitan semakin meningkat khususnya di China. Begitu juga jumlah kematian yang mencecah 213 prang sementara negara yang terkesan meningkat kepada 23. Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengumumkan coronavirus sebagai darurat kesihatan awam global apabila ia telah merebak ke 18 negara. 

Menurut data terbaharu WHO, sebahagian besar daripada lebih 7,800 kes dikesan di peringkat global di mana virus itu mula dikesan di sebuah pasar hidupan liar haram di bandaraya Wuhan. Bagaimanapun 100 kes telah muncul di negara lain, menyebabkan sekatan perjalanan, penularan sentimen anti-China di beberapa tempat dan peningkatan permintaan terhadap penutup hidung dan mulut.

Namun, kenapa khutbah Jumaat tidak memperkatakan isu ini serentak di seluruh negara secara khusus? Mungkin, waktu itu (minggu lalu) penyedia teks khutbah belum bersedia untuk berbuat demikian tetapi bagaimana minggu ini? Biasanya dalam isu tertentu, khutbah menjadi salah satu medium untuk mengingatkan masyarakat supaya lebih bersiap siaga.

Ada tak pembaca yang mendengar khutbah berkaitan wabak ini di masjid masing-masing? Jika ada alhamdulillah. Semakan yang dibuat di Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  menunjukkan tajuk khutbah tidak berkaitan dengan wabak ini. Di Selangor khutbahnya bertajuk Jadilah golongan yang sedikit.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pula dengan khutbah yang berkaitan sambutan Hari Wilayah esok bertajuk ‘Wilayah Peduli Warga Sejahtera’.

Jakim pula mengeluarkan khutbah bertajuk Malaysia Destinasi Mesra Pelancongan Islam. Mungkin berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan tindakan Masjid Putra menutup lawatan bagi pengunjung bukan beragama Islam baru-baru ini susulan kebimbangan terhadap wabak 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Bagaimanapun, khutbah Jakim turut menyentuh sedikit mengenai wabak ini. Ia dikaitkan dengan mempromosikan konsep masjid RAHMAH atau Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat. Ciri-ciri ini memenuhi dan bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Khutbah Jakim itu mengingatkan para jemaah supaya sentiasa berwaspada dan memelihara diri serta keluarga daripada dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya terutamanya wabak Novel Coronavirus yang sedang menular. Jemaah dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di tempat tumpuan ramai supaya kita dapat mengelakkan risiko-risiko jangkitan.

Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada terdapat khatib di masjid lain yang mengambil inisiatif dan memberanikan diri untuk menyentuh isu ini kerana ia juga berkait dengan kepentingan masyarakat. Di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) walaupun tajuk yang diberi  “Jadilah golongan yang sedikit”, khatib turut menyentuh sepintas lalu mengenai wabak ini. Tindakan khatib menyelitkan isu ini harus dipuji.

Khatib yang juga Nazir MBSP, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah menyentuh mengenai Islam yang menekankan konsep makanan halal. Beliau juga mengajak jemaah turut berdoa bagi mengelakkan musibah ini. Semasa khutbah kedua pula, doa berkaitan mengelakkan musibah ini turut diselitkan. Sekurang-kurangnya khatib peka dengan isu semasa tanpa menunggu teks rasmi dikeluarkan.

Memang benar dalam menangani isu ini, masyarakat mempunyai pelbagai sumber maklumat untuk mengetahui gejala ini tetapi khutbah juga mempunyai peranannya. Mungkin bagi sesetengah orang, khutbah seumpama ini mengundang rasa mengantuk atau bosan tetapi jika diolah dengan baik ia akan memberi keinsafan.

Sebenarnya banyak yang boleh disentuh berhubung penyakit ini sama ada dalam konteks agama, kesihatan, budaya, gaya hidup dan sebagainya. Masyarakat bukan Islam sudah tentu ingin mengetahui pandangan Islam berhubung wabak ini. Sudah tentu al-Quran dan hadis telah mengingatkan penyakit-penyakit seumpama ini tetapi manusia sentiasa lalai.

Jika coronavirus berpunca daripada makanan atua lebih khusus haiwan liar, maka sudah tentu apa yang ditekankan oleh Islam mengenai kebersihan, halal atau haram boleh dijadikan panduan tanpa toleransi oleh umat Islam. Bahkan mereka yang bukan beragama Islam harus mengambil pendekatan ini. Makanan halal ini sebenarnya baik untuk semua, bukan terbatas kepada orang Islam sahaja.

Pada masa yag sama, khutbah juga boleh menasihatkan jemaah supaya tidak menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar mengenai penularan penyakit ini kerana ia boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.

Sudah sewajarnya masyarakat diperingatkan bahawa menular atau menyebar sesuatu berita palsu itu satu kesalahan dari segi undang-undang. Malahan Islam juga melarang berbuat demikian. Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini.

Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Related posts

Leave a Comment