Berita palsu, 4 lagi ditahan

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Empat lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak coronavirus 2019-nCov ditahan dalam operasi berasingan sekitar Melaka, Kedah dan Pahang hari ini.

Operasi dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara jam 11 pagi hingga 5 petang tadi.

SKMM dalam kenyataannya, berkata mereka yang ditahan adalah seorang tutor sambilan berusia 49 tahun di Alor Setar, Kedah yang memuat naik kandungan palsu 2019-nCov di laman sosial Facebook miliknya, Sabtu lalu.

Dua lagi yang ditahan di Melaka adalah pembantu farmasi berusia 25 tahun dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, sekitar pukul 4 petang selepas disyaki memuat naik berita palsu dalam akaun Facebook mereka Ahad lalu.

Seorang lagi adalah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berusia 24 tahun, yang ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang, selepas didapati berkongsi kandungan palsu wabak 2019-nCOV di laman Twitter, kelmarin.

Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, pagi tadi, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di kediamannya di Bangi, petang semalam, selepas disyaki menyebarkan berita palsu mengenai wabak coronavirus, 2019-nCov, dalam laman sosial Facebook miliknya, Ahad lalu.

Related posts

Leave a Comment