PUTRAJAYA 26 JAN. – Tiada keperluan untuk menghantar pulang pelancong dari Wuhan, China ekoran negara itu sudah mengeluarkan arahan sekatan penerbangan dua hala bagi destinasi yang dilanda wabak coronavirus baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia sudah menghentikan penerbangan bagi destinasi Wuhan, susulan larangan dikeluarkan Kerajaan China, sejak Khamis lalu.
Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menghentikan pengecualian visa yang diperuntuk kepada pelancong dari China.
“Pihak China sudah mengambil tindakan melarang penerbangan keluar masuk dari Wuhan. Malah, syarikat penerbangan Air Asia juga sudah menghentikan penerbangan dari Wuhan selepas larangan (berkurung) itu.
“Kerajaan kini mengambil kira pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu belum sampai tahap untuk menyekat kedatangan pelancong dari China,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019 nCoV) di sini, hari ini.
Sementara itu, dua beradik warganegara China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini kerana disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus (2019-nCoV).
Difahamkan, kanak-kanak perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun itu bersama-sama ibu bapa mereka dilaporkan berada di Langkawi, sejak Jumaat lalu untuk bercuti dan dimasukkan ke wad HSM, pukul 1 tengah hari ini.
Pengarah HSM, Dr Mansor Ismail, berkata pihaknya masih membuat pemeriksaan lanjut berdasarkan simptom dan sejarah perjalanan mereka yang berasal dari Guangdong, China sebelum tiba di Langkawi.
“Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan itu cuma disyaki sahaja dan kita sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.
“Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan wabak 2019-nCoV,” katanya.
“Mereka tiba di Kuala Lumpur pada Isnin lalu sebelum meneruskan kunjungan ke Langkawi pada Jumaat. Dua kanak-kanak itu kemudian dilaporkan menunjukkan tanda-tanda kurang sihat termasuk selesema, demam dan batuk ketika berada di Langkawi,” katanya.
Beliau berkata, tanda-tanda yang ditunjukkan kanak-kanak itu bersifat umum, tetapi disebabkan mereka datang dari China, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.