Siasat Himpunan Bekas PKM

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perhimpunan dipercayai dihadiri bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, hari ini.

BH Online melaporkan, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata maklumat mengenai penganjuran program itu sudah diperoleh.

“Setakat ini tiada sebarang laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung perhimpunan itu, bagaimanapun kita sudah memperoleh maklumat mengenai penganjurannya.

“Ia berlangsung secara tertutup dan kita masih dalam tindakan menyiasat segala aspek yang berkaitan penganjuran perhimpunan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan 300 individu terdiri daripada bekas anggota PKM hadir satu perhimpunan di Kajang.

Isu komunis kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini selepas abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lalu.

Portal Malaysiakini melaporkan, abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand oleh sekumpulan individu, sebelum ditabur di laut berhampiran Lumut di Perak, dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Related posts

Leave a Comment