Ketepikan ego demi kekuatan negara

KUALA LUMPUR 29 Jun – Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia mengetepikan ego, kepentingan kaum kerabat dan keluarga demi kekuatan negara tanpa mengira bangsa, terutama dalam membantu mereka yang lemah dan terpinggir.

Perdana Menteri berkata, menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, isteri baginda Hajar dan anak baginda, Nabi Ismail dalam menunaikan ketaatan kepada Allah, ia menjadi asas keyakinan dalam membawa amanah dan menunaikan cita-cita para pewaris bangsa.

“Ini tekad dan sumpah kita. Bersama kita satukan kekuatan, mara demi sebuah negara yang maju, sejahtera dan ihsan terhadap rakyatnya.

“Kepada rakyat Malaysia yang menunaikan haji di tanah suci saya mendoakan agar beroleh haji yang mabrur dan semoga selamat pulang ke tanah air,” katanya dalam perutusan Aidiladha yang disiarkan di akaun Facebook hari ini.

Anwar berkata, tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam seluruh dunia melaksanakan ibadah korban sempena memperingati pengorbanan suci Nabi Ibrahim dan keluarga baginda.

“Meski serba kekurangan, di tanah serba gersang dalam daerah yang sepi tidak berpenghuni, namun hakikatnya tetap subur dibasahi keimanan dan kasih sayang serta keikhlasan jiwa menurut perintah yang Maha Esa.

Pengorbanan inilah yang menjadi asas kepada sebuah perjuangan suci mengembalikan maruah umat dan menjamin keadilan buat semua,” katanya.

Sementara itu, malam tadi Anwar berkesempatan menyertai majlis takbir raya sempena Hari Raya Aidiladha yang dipimpin Imam Masjid Taman Rakan Sungai Long, Mohd Zamzuri Abu Othman.

Laungan takbir raya itu juga disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM dan laman media sosial dalam meraikan kehadiran hari mulia ini.

“Moga kehadiran Hari Raya Aidiladha ini membawa seribu keberkatan untuk kita semua,” katanya.

Related posts

Leave a Comment