Kewajaran ‘hapuskan’ teksi beralih ke Uber, GrabCar

KHABARNYA minggu ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memperincikan pelaksanaan sistem baharu perkhidmatan pengangkutan awam berikutan cadangan pemansuhan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) untuk pemandu teksi. Ia juga ada kaitan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar yang menjadi bualan hangat dalam kalangan pemandu teksi. Bagi pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada teksi menganggap kehadiran Uber/GrabCar umpama mencurahkan pasir ke dalam periuk nasi mereka atau bakal membunuh industri teksi. Tidak dinafikan ketika banyak rungutan dilemparkan oleh pengguna tempatan serta pelancong terhadap sikap tidak profesional pemandu teksi, masih ada pemandu yang `bekerja’ secara jujur kerana itulah punca rezeki mereka. Keluar awal pagi, pulang lewat petang atau malam atau awal pagi. Berbaloikah mereka menjadi pemandu teksi dengan menyewa daripada syarikat?

Hampir 50 peratus teksi milik syarikat. Adakah lebih baik kerajaan menghapuskan pelbagai jenis teksi yang ada sekarang – bajet, premier, eksekutif, Teksi 1Malaysia (TEKS1M) , Limo – dan beralih kepada Uber/GrabCar? Pemandu yang mempunyai permit sendiri boleh beroperasi seperti biasa dengan `menukar nama/warna’ kepada Uber/GrabCar sementara yang menyewa teksi membeli kereta baharu atau menggunakan kereta persendirian yang ada pada mereka. Tidak perlu lagi fikir soal keluar pagi dengan matlamat sejumlah kutipan pertama untuk bayar sewa teksi, kutipan berikutnya untuk gas/minyak, diikuti mencari gaji, kemudian wang belanja harian untuk dibawa pulang dan akhir sekali sedikit wang untuk tabung penyelenggaraan kenderaan atau ketika cuti sakit. Bayangkan jika kadar sewa harian teksi RM45, sebulan RM1,350. Kereta jenis apa yang boleh dibeli dengan bayaran bulanan RM1,350?

Bersetujukah pemandu teksi yang selama ini `bekerja’ untuk syarikat bertukar kepada Uber/ GrabCar yang menawarkan penda-patan sehingga RM5,000 sebulan? Jika perubahan ini berlaku, apakah kaedah yang bakal digunakan bagi membantu penumpang yang tidak memuat turun aplikasi untuk memanggil Uber/GrabCar ini? Bolehkah diambil di tepi jalan dan bagaimana penetapan kadar tambangnya? Selak sudah banyak kali menulis mengenai isu teksi di negara ini. Sekadar mendengar keluhan mereka yang jujur mencari rezeki.

SPAD mungkin mempunyai jawapan terhadap pelbagai persoalan mengenai masa depan industri teksi apabila Uber/Grab-Car diterima pakai sepenuhnya. SPAD lebih arif kerana mempunyai Program Transformasi Industri Teksi. SPAD sebelum ini menjelaskan, bukanlah tujuan pihaknya mahu menghalalkan khidmat Uber/GrabCar. Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar berkata, perkhidmatan pengangkutan awam termasuk Uber/GrabCar diseragamkan di bawah peraturan sama. Katanya: “Kita bukan nak halalkan Uber dan GrabCar, keputusannya untuk membawa perkhidmatan tersebut di bawah undang-undang dalam negara sama ada kita buat peraturan atau ubah peraturan. Kita mahu semua orang dilayan sama,”.

SPAD mencadangkan memansuhkan pelaksanaan lesen PSV untuk pemandu teksi dan digantikan dengan sistem baharu bagi diseragamkan dengan perkhidmatan Uber/GrabCar. Langkah ini bagi memastikan teksi, Uber/Grabcar dapat bersaing secara sihat dan memberi perkhidmatan paling efisien. Eloklah diselesaikan segera isu ini kerana semakin lama semakin kecoh dan berserabut. Kemunculan Uber/GrabCar sebelum ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu teksi. Pengguna pula teruja kerana tambangnya lebih murah berbanding teksi bermeter. Jika terperangkap dalam kesesakan, penumpang teksi mungkin `melompat’ keluar kerana meter akan menunjukkan kadar tambang yang meningkat berbanding Uber/GrabCar yang tidak mengenakan caj kesesakan. Selak kembali apa yang berlaku berkaitan isu Uber/GrabCar ini. Contohnya demonstrasi pemandu teksi bermeter dan dua pemandu teksi didenda RM2,000 kerana merosakkan kereta Grab.

Bukan sedikit juga maki hamun yang dilontarkan oleh pihak tertentu terhadap SPAD berhubung isu ini. Terkini timbul ugutan pemandu teksi tidak akan menyokong kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Semuanya terbeban ke atas SPAD.

Diharapkan pengumuman minggu ini dapat melegakan semua pihak. Memang rezeki orang tidak perlu disekat. Cuma situasi mereka berbeza. Pemandu Uber/ GrabCar mungkin sekadar mahu menambah pendapatan sementara pemandu teksi menjadikannya sumber pendapatan tetap atau menambah pendapatan. Sementara SPAD masih berteka-teki dalam isu ini, Uber/GrabCar terus aktif. Pelbagai promosi dilakukan sama ada melalui papan iklan besar, pelekat kereta, media sosial termasuk Facebook malahan bekas orang kenamaan turut mempopularkan Uber. Kita lihat bagaimana mereka mahu bersaing secara sihat. Apa pula nasib pemandu teksi di lapangan terbang? Sukar diramalkan nasib pemandu Limo apabila tiada sekatan mana-mana kereta boleh mengambil penumpang sehingga di pintu keluar balai ketibaan. Di Lembah Klang, ketika ini dianggarkan terdapat lebih 33,000 teksi dan jumlah pengangkutan ini akan meningkat selepas kehadiran Uber/GrabCar. Persoalannya, selepas tidak perlu lagi lesen PSV, adakah sesiapa sahaja boleh memandu untuk membawa penumpang?

Mungkin kereta sapu yang suatu masa dulu diburu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan kembali beroperasi tanpa perasaan takut. Dulu, kereta sapu banyak membantu penumpang di kawasan yang tidak mempunyai pengangkutan awam yang cekap. Selepas ini, adakah tanpa lesen PSV, sesiapa juga boleh menjalankan operasi seumpama kereta sapu? Khabarnya ada warganegara asing yang menyediakan perkhidmatan ini kepada rakan-rakan senegara mereka yang melancong ke negara ini. Di bawah peraturan baharu itu nanti, adakah pemandu terlepas daripada menjalani pemeriksaan doktor dan tidak perlu mematuhi etika pemanduan? Mungkin selepas ini, pakailah apa sahaja ketika memandu, tidak perlu berkemeja putih seperti ditetapkan.

Selamat memandu mencari rezeki!

UMA150816010C_2#

Related posts

Leave a Comment