Kekalkan momentum malam pertama hingga ke final!

SYUKURLAH kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan Ramadan dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa. Bersyukur juga kerana umat Islam di Malaysia dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana yang baik. Renungi sejenak apakah nasib rakan-rakan seagama kita di Rohingya, Somalia, Palestin serta di negara-negara yang berdepan dengan krisis. Bagaimana kehidupan mereka pada bulan puasa ini? Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga tetapi terlalu banyak ibadah lain yang boleh dilakukan. Berdasarkan kelebihan yang ada ini, janganlah kita membiarkan Ramadan berlalu dengan pengisian ala kadar seperti bulan-bulan sebelumnya. Lakukanlah perubahan.

Isilah Ramadan ini dengan sebaik mungkin. Jika pada hari-hari biasa sebelum ini, anda begitu berat melangkah ke masjid dan surau untuk solat berjemaah, maka Ramadan ini, berubahlah.

Setakat ini, mulai kelmarin dan semalam, kita dapat lihat di kebanyakan masjid dan surau, pelbagai aktiviti disusun sepanjang bulan ini untuk masyarakat setempat. Tujuannya bagi mengimarahkan masjid/surau dengan aktiviti yang bukan sahaja dapat meningkatkan ibadat tetapi pada masa yang sama memupuk semangat kejiranan dan kerjasama dalam kalangan penduduk. Contohnya di Surau Sayyidina Umar Al-Khattab, Fasa 7 Bandar Seri Putra, Bangi. Sejak awal lagi, jawatankuasanya telah mengambil daya usaha untuk menambah ruang solat bagi menampung jumlah penduduk yang terus meningkat. Syukurlah dalam tempoh seminggu, hasil sumbangan orang ramai khususnya masyarakat setempat, ruang solat tambahan dapat disiapkan dan digunakan untuk memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan solat sunat tarawih. Menurut Pengerusi surau, Dr. Abdul Malik Alias, Ramadan adalah `tetamu’ yang paling istimewa. Layanan yang diberi juga harus istimewa. Perancangan perlu dilakukan bagi `meraikan’ tetamu istimewa itu. Di surau itu, beberapa program dirancang termasuk majlis berbuka puasa, moreh, tadarus dan khatam al- Quran, tahlil arwah, solat hajat, qiamullail, penajaan bubur (lambuk/beraneka), meraikan anak-anak yatim. Kuliah subuh dan tazkirah yang sentiasa diadakan sebelum ini dipertingkatkan lagi. Selain imam tempatan, imam jemputan juga diundang bagi memimpin solat tarawih.

Bagi yang terpaksa bekerja hingga ke malam, peluang beribadah tidak boleh dilepaskan berlalu begitu sahaja. Mereka boleh melakukan seperti apa yang dilakukan rakan-rakan di luar premis kerja mereka. Paling dekat, dengan mengambil contoh Surau Al-Huda Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) menyusun pelbagai program sama ada pada sebelah siang atau malam. Seperti tahun sebelumnya, solat sunat tarawih lapan rakaat dilakukan setiap malam dengan dipimpin oleh imam surau serta imam jemputan termasuk dari Mekah dan Palestin. Program bubur lambuk, tazkirah, tahlil dan meraikan anak-anak yatim khususnya dalam kalangan keluarga pekerja dan bekas pekerja Utusan turut disusun. Program ini mendapat kerjasama syarikat serta pihak lain yang menghulurkan kerjasama.

Begitulah kesungguhan setiap jawatankuasa surau di mana-mana sahaja untuk menyusun pelbagai program bagi mengisi bulan istimewa ini. Apa yang penting pihak masjid dan surau amat mengalu-ngalukan kehadiran masyarakat Islam untuk sama-sama beribadah. Berdasarkan aktiviti yang disusun oleh setiap masjid dan surau, jelaslah banyak ruang untuk masyarakat Islam meningkatkan ibadah mereka. Bukan sekadar solat lima waktu dan sunat tetapi juga melalui sumbangan derma bagi membantu pihak masjid/surau menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang bulan ini.

Hasil perancangan inilah, pada malam pertama kelmarin, kita dapat lihat bagaimana surau dan masjid menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih pertama pada malam 1 Ramadan. Tidak kira lapan atau 20 rakaat. Apa yang penting, jaga kualiti solat. Ada juga yang menyusun tazkirah pendek sekurang-kurangnya 10 minit untuk mengingatkan jemaah mengenai perkara-perkara berkaitan ibadat mereka. Kita boleh lihat kesungguhan jemaah untuk berada di surau dan masjid amat luar biasa berbanding hari-hari biasa. Suasananya amat jauh berbeza berbanding pada hari biasa di luar Ramadan. Rasanya di kebanyakan surau/masjid berlaku limpahan jemaah.

Inilah kelainan dan kelebihan Ramadan. Bulan inilah untuk kita menghidupkan malam dengan solat tarawih di samping mengekalkan solat lima waktu secara berjemaah, memperbanyakkan membaca al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, menyantuni anak-anak yatim dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Persoalannya bagaimana kita mahu mengekalkan momentum atau semangat yang ditunjukkan sejak malam pertama itu? Bagaimana mahu mengekalkan kehadiran jemaah seperti pada hari pertama dan kedua supaya ia berterusan sehingga malam-malam terakhir Ramadan? Ibarat pasangan pengantin baru, bagaimana agaknya malam pertama mereka? Apa pula berlaku selepas hari-hari bulan madu itu berakhir? Adakah keghairahan kita berkunjung ke surau dan masjid akan pudar selepas seminggu? Keadaan inilah yang sering berlaku. Ibarat ke medan perang, belum mencapai kejayaan, semangat mula luntur di pertengahan jalan.

Lebih mendukacitakan ketika semakin sampai ke penghujung, 10 malam terakhir, surau dan masjid mula kehilangan jemaah. Kesibukan di surau dan masjid untuk beribadah bertukar ke pusat membeli-belah untuk melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Diharapkan, tahun ini, kita akan berubah supaya momentum malam pertama kekal hingga ke malam terakhir. Memandangkan kita masih lagi dalam demam bola sepak Piala Dunia, biar pun pasukan pilihan kita tewas pada pusingan kelayakan, suku akhir atau separuh akhir tetapi kita tetap mengikuti Piala Dunia hingga ke perlawanan final. Begitu jugalah amalan kita pada bulan Ramadan, jangan puas hati sekadar kejayaan di peringkat kelayakan tetapi teruskanlah usaha hingga ke suku akhir, separuh akhir seterusnya ke final (10 malam terakhir).

Seperkara lagi, amat malang ketika ramai yang mahu mengejar kelebihan beribadat, ada pula yang berlumba-lumba melakukan pembaziran ketika berbuka puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Berpada-padalah ketika berbelanja. Di bazar Ramadan, sudah menjadi satu pemandangan biasa, pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi daya tarikan. Ramai yang rambang mata ditambah pula nafsu untuk mencuba itu dan ini menyebabkan ‘pembelian melampau’ tanpa mengira sejauh mana keupayaan untuk menghabiskan juadah itu pada waktu berbuka. Akhirnya berlakulah pembaziran. Makanan dan minuman terbuang. Ingatlah ketika kita dapat bersahur, berpuasa, berbuka, bertarawih, bertadarus al-Quran dalam suasana yang aman ini, masih ada yang tidak dapat melalui semua itu dengan tenteram.

Selak tertarik dengan satu renungan yang diterima melalui WhatsApp baru-baru ini. Seorang saudara Islam dari Somalia bertanyakan seorang mufti Arab Saudi dalam satu program televisyen. Soalannya: “Adakah puasa saya (dan kami) sah dan diterima Al-lah SWT sedangkan saya (kami) tidak dapat bersahur atau berbuka?’’

Sekali imbas, mungkin ada yang akan tersenyum dengan soalan itu tetapi hakikatnya mereka tidak ada apa-apa untuk makan sama ada ketika bersahur atau berbuka. Bagaimana pula dengan kita?

Semoga kita diberi hidayah supaya tetap konsisten dengan ibadah pada bulan Ramadan ini. Berubahlah. Buang sikap malu atau segan dalam soal beribadah sekali pun anda sebelum ini tidak pernah berjemaah di surau atau masjid kecuali pada hari Jumaat. Katakan pada diri anda “Aku yang dulu (sebelum Ramadan) bukannya sekarang (Ramadan)’’.

UMA300614012C_2#

Related posts

Leave a Comment